Politik

‘Jaga parti baik-baik’, Muhyiddin umum tak pertahan jawatan Presiden

Bersatu bakal menyaksikan Presiden baharu menjelang tahun depan.

KUALA LUMPUR 24 Nov. – Muhyiddin Yassin pagi ini mengejutkan seluruh perwakilan dan pemerhati Bersatu apabila mengumumkan dia tidak akan mempertahankan jawatan pada pemilihan parti akan datang.

Menurut presiden Bersatu itu, keputusan tersebut diambilnya bagi memberi peluang barisan kepimpinan baru mengambil alih parti tersebut.

“Maka, pada hari Jumaat yang mulia dan penuh barakah ini, saya ingin mengumumkan bahawa masa untuk saya mewariskan kepimpinan parti kepada barisan kepimpinan yang baru telah pun tiba.

“Untuk itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan parti yang akan diadakan sebelum hujung tahun hadapan,” katanya.

Tambah Muhyiddin tarikh pemilihan tersebut akan ditentukan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu tidak lama lagi.

Bagaimanapun, pengumuman itu mendapat reaksi perwakilan yang meminta Muhyiddin menarik balik keputusannya tersebut.

Kata ahli parlimen Pagoh itu, perhimpunan agung kali ini adalah yang terakhir untuk dia berada di pentas utama sebagai presiden.

“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang saya memimpin parti.

“Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik,” katanya. — Malaysia Kini

Artikel Berkaitan

Back to top button