Berita

Jakim panggil lelaki mengaku Imam Mahdi

Jakim juga berkata lelaki itu sudah mula dikesan sejak 23 November lalu.

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Lelaki yang mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi akan dipanggil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengenal pasti alamat lelaki tersebut.

“Jakim akan panggil dan menasihati dia,” katanya seperti dilapor Sinar Harian

Beliau berkata, lelaki tersebut telah berada di bawah radar Cawangan Kajian Akidah JAIS sejak 23 November lalu.

“Tindakan lanjut akan dilakukan oleh JAIS,” katanya.

Terdahulu tular mengenai tangkap layar pengguna Facebook yang dikenali sebagai Khairul Adha yang mendakwa dia sebagai Imam Mahdi yang dilantik oleh ALLAH SWT.

Status yang dimuat naik pada 22 November itu mendapat kecaman pengguna media sosial.

Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang diutuskan ALLAH SWT untuk menegakkan keadilan di bumi.

Beliau menjadi seorang mujaddid (tokoh pembaharuan) untuk agama Islam.

Kemunculan Imam al-Mahdi juga merupakan salah satu tanda kiamat besar yang akan berlaku kelak. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button