Berita

Jangan ganggu pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi – Mohd Na’im

Hadis 40 akan akan dilaksanakan dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Semua pihak diminta untuk tidak menimbulkan sebarang polemik yang boleh mengganggu-gugat matlamat murni pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, KPM dalam kenyataan semalam jelas menyatakan program itu disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja.

“Dalam kenyataan KPM di media sosial rasmi bertarikh 25 Ogos 2023 menjelaskan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan untuk menerapkan semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan pemahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam.

KPM menegaskan tujuan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah adalah untuk memupuk semangat ihsan dan kasih sayang

 

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberikan sokongan penuh kepada pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi oleh KPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na’im turut menyeru semua pihak supaya memberikan penumpuan membangunkan negara khususnya pembangunan modal insan generasi Madani seperti yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KPM dalam kenyataan semalam memaklumkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi akan dilaksanakan dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara. – Bernama

Artikel Berkaitan

Back to top button