Berita

Jangan kaitkan isu kebakaran rumah dengan pembangkang – Hamzah

Hamzah menyifatkan kenyataan pemimpin DAP itu tidak bertanggungjawab.

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Bersatu mengecam tindakan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham yang didakwa cuba mengaitkan insiden kebakaran rumahnya dengan pembangkang.

Setiausaha Agung, Hamzah Zainudin, turut menyifatkan kenyataan pemimpin DAP itu tidak bertanggungjawab.

“Dalam urusan agama Islam ini tidak perlu dicampuri oleh pihak luar yang tidak berkaitan. Kerana apabila dicampuri, orang Islam akan bangkit tanpa perlu diapi-apikan.

“Sebab itu daripada menuduh, sepatutnya beliau memohon maaf dan insaf tanpa menuduh orang lain,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ngeh mendakwa insiden kebakaran di kediamannya dipercayai berpunca daripada kenyataannya pada 28 Dis lalu berhubung cadangan supaya bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Bagaimanapun, dia turut mendakwa konon PAS dan Bersatu mengapi-apikan isu terbabit supaya orang membencinya.

Susulan perkara itu, satu laporan polis dibuat Pemuda Perikatan Nasional (PN) hari ini bagi mengekang fitnah pemimpin DAP berkenaan berhubung kejadian terbabit kerana ia mendahului siasatan polis.

Dalam pada itu, Hamzah turut menggesa polis segera memburu dalang sebenar kejadian tersebut yang ketara bercanggah dengan undang-undang dan mencabuli prinsip kehidupan bermasyarakat secara aman dan harmoni di negara ini.

Katanya, orang ramai dinasihati mengambil iktibar dan berhati-hati dalam melontarkan sesuatu pandangan terutama apabila menyentuh berkaitan hal sensitif.

“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga, sedangkan nikmat keamanan yang dikecapi ini tidak dibina dalam tempoh semalaman,” katanya. — FMT

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button