Jangan kejutkan fitnah yang tidur, peristiwa Natrah boleh berulang – Wan Fayhsal
Tindakan Nik Elin bersama anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul itu juga boleh menjerumuskan negara ke amalan sekularisme seperti diperkenalkan Mustafa Kemal Ataturk di Turki

SHAH ALAM 23 Nov – Pemuda Bersatu memberi amaran petisyen mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 boleh mengulangi peristiwa Natrah atau Maria Bertha Hertogh yang mencetuskan rusuhan di Singapura, 73 tahun lalu.
Ketuanya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga mendakwa tindakan Nik Elin bersama anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul itu juga boleh menjerumuskan negara ke amalan sekularisme seperti diperkenalkan Mustafa Kemal Ataturk di Turki.
Menurutnya, dalam peristiwa Natrah orang Melayu dan Islam bangkit demi mempertahankan maruah agama dan bangsa.
“Jangan kejutkan fitnah yang tidur, kalau kerajaan hari ini tersilap langkah pintu musibah terbuka sehingga berdepan amalan sekularisme seperti dipaksa Mustafa Kamal Ataturk di Turkiye suatu ketika dahulu.
“Bukankah ini akan menghakis kedaulatan dan kuasa Raja Melayu sebagai ketua agama? Kita sedang berdepan bahaya syariah kita dicabar oleh golongan liberal dan sekular seperti Nik Ellin,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Pemuda Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan 2023.
Kisah Natrah pernah menggemparkan Tanah Melayu dengan tragedi rusuhan di Singapura pada 12 Dis 1950 apabila mahkamah memutuskan wanita yang telah memeluk Islam itu mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya yang menetap di Belanda walaupun telah berkahwin dengan orang Islam.
Bapanya turut diberi hak dalam menentukan agama anaknya menurut undang-undang Belanda dan keadaan itu berlaku kerana Singapura di bawah pemerintahan kolonial British.
Pada 25 Mei tahun lalu, Nik Elin bersama anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman memfailkan petisyen bagi menyemak semula 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen tersebut terhadap kerajaan Kelantan.
Dua beranak itu mendakwa 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan bertindan dengan undang-undang persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.
Peruntukan itu antara lain ialah memusnahkan tempat ibadat, pelacuran dan pelbagai kesalahan seksual lain, termasuk homoseksual, memberi keterangan palsu serta pemalsuan dokumen. – FMT