Politik

Jangan ‘spin’, hanya yang terpilih boleh tanya PM – Wan Saiful

KUALA LUMPUR 4 April – Sejak mengambil alih teraju negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka peluang untuk Ahli Parlimen bertanya apa sahaja kepadanya pada setiap Selasa.

Perkara itu mencerminkan ketelusan yang cuba dibawa kepimpinan Anwar dan mendapat respons yang baik dalam kalangan rakyat.

Apatah lagi sesi itu juga merupakan peluang terbaik untuk pembangkang membangkitkan apa sahaja isu sama ada melibatkan negara mahupun rakyat.

Namun, Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan yang sesi itu sebenarnya sesuatu yang tidak adil.

“Untuk pengetahuan semua, sebenarnya semasa slot Pertanyaan Perdana Menteri, hanya MP yang disebut oleh Speaker saja boleh bertanya soalan. Yang lain-lain tak boleh bertanya apa-apa.

“Speaker hanya benarkan satu soalan tambahan daripada penyoal asal, serta satu lagi soalan tambahan dari pihak satu lagi,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Menurut Wan Jan, perkara itu bermaksud, hanya dia sahaja dari Perikatan Nasional (PN) yang boleh bertanya jika diberikan peluang manakala seorang lagi adalah daripada Ahli Parlimen kerajaan.

“Jadi janganlah beri gambaran seolah-olah dalam slot Pertanyaan Perdana Menteri ini, Ketua Pembangkang atau Ketua Parti boleh turut serta dalam tanya soalan.

“Tak boleh pun sebenarnya. Jangan spin ke arah persepsi yang salah,” katanya.

Jelas Wan Jan, dia juga melihat Anwar banyak mengelak daripada memberi jawapan penuh dan banyak meleret tanpa fakta tuntas.

Tambahnya, ada kalanya akta yang disebut Anwar juga tidak jelas.

“Jadi, sebenarnya yang perlu diberi perhatian ialah kualiti jawapan daripada Perdana Menteri. Kalau kualiti jawapannya rendah, maka minat orang nak mendengar pun pasti rendah,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menerusi akaun Facebook miliknya memberitahu yang Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin; Datuk Seri Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang tidak hadir dan tidak menanyakan soalan.

Ujarnya, waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri diadakan setiap Selasa dan ini peluang terbaik pembangkang bangkitkan soalan, berdepan, dan bersemuka dengan Perdana Menteri. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button