Politik

Jangan terlalu selesa MP Bersatu sokong PM – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid mengingatkan ahli Parlimen itu sebelum ini merampas kerusi yang pernah menjadi milik BN.

KUALA LUMPUR 11 Nov. – UMNO tidak boleh terlalu selesa dengan tindakan beberapa Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ahli Parlimen terbabit menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu di kerusi yang pernah menjadi kawasan milik Barisan Nasional (BN).

“Kita dalam UMNO tidak harus berasa terlalu selesa dengan dokongan mereka kepada Perdana Menteri, itu adalah perkara berlainan kerana mereka Ahli Parlimen (pembangkang).

“Mereka adalah Ahli Parlimen di kawasan calon BN tak cukup jumlah undi untuk menang di kerusi itu (pada PRU15) dan kita berada pada kedudukan yang kedua,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Retreat Biro Politik UMNO Bahagian-Bahagian Kedah di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalannya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara penting dalam tindakan Ahli Parlimen berkenaan ialah memastikan BN dapat merampas kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“UMNO dan BN akan memperkira perkembangan terbaharu itu, biarpun baik (kepada kerajaan) namun UMNO berpendirian kerusi itu perlu menjadi milik UMNO semula.

“Jika perkembangan terbaharu politk ini diperkirakan, maka ia positif sebagai landasan untuk kita bergerak ke hadapan,” katanya.

Sebelum ini, empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) daripada BERSATU iaitu Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan Jeli, secara terbuka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri tetapi kekal bersama parti itu.

Berikutan itu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Akta Antilompat Parti yang diluluskan Parlimen sebelum ini, dikaji semula selepas Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU melihat wujud kelemahan terutama dalam situasi ahlinya menyokong Kerajaan Perpaduan. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button