‘Janganlah ada yang terpengaruh’, syarikat tawar servis kebumi haiwan peliharaan siap kafan, batu nisan
Difahamkan syarikat itu menawarkan perkhidmatan mengebumikan bangkai haiwan mengikut 'kaedah Islam'.
KUALA LUMPUR 7 Ogos – Mengambil kesempatan terhadap rasa sayang tuan terhadap haiwan peliharaan dengan menawarkan servis pengebumian lengkap kafan, bacaan doa dan batu nisan.
Itu yang berlaku apabila tular di sosial media apabila sebuah syarikat menawarkan khidmat pengebumian haiwan peliharaan disifatkan cuba menunggang agama.
Difahamkan syarikat itu menawarkan perkhidmatan mengebumikan bangkai haiwan mengikut ‘kaedah Islam’ bagi pemilik Muslim yang mengenakan bayaran bermula RM2,100 hingga RM3,800 bagi pakej premium.
Caj itu merangkumi pakej kafan, doa bersama tapak kubur.
Malah, syarikat yang menggunakan ayat servis ‘mesra Muslim’ itu menunjukkan katalog harga pakej ‘pengebumian Islam’.
Perkhidmatan asas yang disediakan adalah tapak kubur seluas 60×90 sentimeter (2×3 kaki), servis menanam, batu nisan dan sijil mati.
Bagi pakej premium pula, bacaan doa, majlis pengebumian, mandi ‘jenazah’, botol untuk bulu, gambar kenangan, patung tanah 3D dan video kenangan disediakan khusus kepada pemilik.
Bukan itu saja, pemilik yang ingin menanam di rumah juga boleh mendapatkan perkhidmatan tersebut dan kos mengikut servis yang diingini.
Tndakan mengebumikan bangkai haiwan seperti manusia tidak dianggap sebagai tanda sayang sebaliknya menonjolkan kejahilan dalam agama.
Tinjauan Xklusif di laman sosial mendapati rata-rata warganet mengecam tindakan syarikat itu yang seolah mempermainkan agama dengan menawarkan servis berkenaan.
“Harap syarikat yang buat benda ni pergilah mengaji balik dan duduk istighfar. Kucing bukan makhluk mukallaf nak kena dimandi, kafan, tahlil, talqin dan sebagainya.
“Ini dua dalam satu terus, tunggang kucing sekali gus tunggang agama… parah,” kata Muhammad Fareez Harith.
Bagaimanapun syarikat didakwa bukanlah milik orang Islam.
Namun perkara itu masih menjadi kebimbangan jika ada umat Islam yang kurang berpengetahuan akan terjebak dengan perkara karut tersebut.
“Nak tanam manusia pun tak semahal ni. Janganlah ada orang yang terpengaruh. Islam tak ajar semua ni,” kata Shahidah Husna.
“Nanti ada pakej azan dan iqamah pula lepas kucing beranak. Makin lama makin merepek orang nak buat duit sekarang,” kata Qistina Has.
“Yang jahil agama lepastu berduit pula tak mustahil akan ambil servis ni. Pihak berkuasa kena pantau perangai manusia-manusia pelik ni,” kata Farouq. — Xklusif