Berita

Jangkitan Covid-19 meningkat 24 peratus

Peningkatan kes itu dicatatkan bermula 12 hingga 18 November lalu.

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 2,305 kes COVID-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-46 (ME 46/2023) iaitu dari 12 hingga 18 November lalu.

KKM dalam kenyataannya berkata, peratusan kes COVID-19 dilaporkan pada ME 46/2023 meningkat sebanyak 28 peratus, berbanding 1,801 kes pada ME 45/2023 atau dari 5 hingga 11 November lalu.

Kadar kemasukan pesakit COVID-19, termasuk mereka yang disyaki positif jangkitan itu ke fasiliti kesihatan menurun kepada 2.0 bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 46/2023 berbanding ME 45/2023.

ME 46/2023 juga menunjukkan pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 0.4 peratus, manakala pengisian katil bukan kritikal COVID-19 pula sebanyak 0.7 peratus.

“Sehingga kini, situasi COVID-19 masih terkawal di Malaysia. Pada ME 46/2023, sebanyak 21 varian Omicron baharu dilaporkan yang terdiri daripada 20 kes varian membimbangkan (VOC) dan satu kes varian mempunyai kepentingan (VOI).

“Sehingga kini, sebanyak 785 kumulatif kes VOI (XBB.1.16, XBB.1.5 dan EG.5) dengan 783 kes tempatan dan dua kes import.

“Pecahan kes merangkumi 143 di Sarawak, Selangor (136), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (119), Melaka (117), Johor (59), Kedah (52), Pulau Pinang (37), Terengganu (24), Sabah (23), Kelantan (21), Negeri Sembilan (16), Perlis (12), masing-masing sembilan kes di Perak dan Putrajaya serta Pahang (lapan).

“Sehingga ME 45/2023, hasil aktiviti survelan penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) bagi COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 61 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif tujuh peratus, manakala 69 sampel SARI dengan kadar positif tiga peratus,” katanya.

KKM berkata, berdasarkan data hingga 31 Oktober lalu, hanya 16,348,414 penduduk

Malaysia atau 50.1 peratus menerima dos penggalak pertama dan hanya 828,148 penduduk atau 2.5 peratus menerima dos penggalak kedua.

Katanya, risiko kemasukan ke hospital dan gejala teruk boleh dikurangkan dengan pengambilan dos penggalak.

“KKM menjangka kemungkinan sedikit peningkatan kes COVID-19 akan berlaku susulan pergerakan dan perjumpaan saudara dan sahabat ketika sambutan perayaan serta aktiviti berkumpulan.

“Sehubungan itu, KKM menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan dengan pensanitasi serta memakai pelitup muka terutama bagi yang bergejala atau berada di tempat tertutup, sempit dan sesak.

“Selain itu, kumpulan berisiko tinggi seperti warga tua, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung digalakkan memakai pelitup muka,” katanya. — BH

Artikel Berkaitan

Back to top button