Berita

Jangkitan Covid-19 meningkat, orang ramai diminta jangan panik

Amalan kebersihan kendiri terbukti berkesan dalam mengurangkan penyebaran virus.

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Orang ramai diminta tidak panik menghadapi musim peningkatan jangkitan COVID-19, selain disaran terus mematuhi panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Prof Dr Jamalludin Ab Rahman, berkata masyarakat digesa menitikberatkan kebersihan seperti kerap mencuci tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Katanya, amalan kebersihan kendiri terbukti berkesan dalam mengurangkan penyebaran virus.

“Selain itu, orang ramai digesa tidak menyebarkan maklumat tidak tepat termasuk video atau audio lama yang boleh menyebabkan situasi panik dan sikap lebih bertanggungjawab itu perlu diterapkan sepanjang masa.

“Kita faham masyarakat bimbang apabila statistik jangkitan dilaporkan meningkat, namun perlu difahami kebanyakan kes COVID-19 yang kini dilaporkan tahap ringan.

“Pada masa sama, KKM sedang mengambil langkah proaktif untuk mengawal situasi terbabit dan rakyat perlu yakin sistem kesihatan negara bersedia menghadapinya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Semalam, sebanyak 3,626 kes COVID-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) iaitu dari 19 hingga 25 November lalu, meningkat 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, dilaporkan berkata majoriti kes atau 48 peratus membabitkan mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun dan lebih 98 peratus hanya bergejala ringan.

Mengulas lanjut, Dr Jamalludin berkata, meskipun kemunculan varian baharu menimbulkan kegusaran ramai, namun varian baharu COVID-19 tidak menunjukkan trend yang membimbangkan dan tentunya kerajaan akan terus memantau keadaan semasa.

“Justeru memakai pelitup muka di tempat sesak adalah cara mudah yang berkesan untuk mengurangkan penyebaran virus. Pelitup muka bukan saja melindungi diri sendiri tetapi juga orang di sekeliling terutama ketika berada di ruang tertutup atau kurang pengudaraan.

“Sekiranya seseorang itu merasakan diri tidak sihat, segera mendapatkan nasihat perubatan. Diagnosis dan rawatan awal sangat penting dalam menguruskan COVID-19 dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, bagi individu positif, mereka perlu mengasingkan diri untuk mencegah penyebaran virus kepada orang lain.

“Mengasingkan diri dan mengikuti garis panduan yang disyorkan bukan saja untuk keselamatan diri, tetapi ia tanggungjawab sivik melindungi komuniti,” katanya.

Sementara itu, pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia, Dr Muhammad Amir Yunus, berkata pada masa ini, pihak berkuasa perlu meningkatkan pemantauan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dikeluarkan.

“Bagaimanapun, orang ramai digalakkan memakai pelitup muka ketika berada dalam ruang tertutup dan sesak. Langkah sama perlu dibuat di sekolah, jika ada murid bergejala, mereka digalakkan memakai pelitup muka dan isolasi sekiranya didapati positif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, peningkatan kes domestik sejajar situasi di negara Eropah bagi tempoh beberapa bulan atau minggu yang sama.

“Kes jangkitan salur pernafasan akibat virus seperti influenza, RSV dan SARS-Cov-2 memang meningkat, dengan peratusan jangkitan SARS-Cov-2direkodkan tertinggi oleh European Respiratory Virus Surveillance Summary.

“Begitu juga situasi jangkitan salur pernafasan misteri di utara China dalam beberapa minggu lalu membabitkan pesakit kanak-kanak. Namun hasil maklumat pihak berkuasa China ia disebabkan oleh bakteria (Mycoplasme pneumoniae) dan juga isu kerintangan antibiotik,” katanya.

Jelasnya, perbuatan pihak tidak bertanggungjawab mengulang siar maklumat berkenaan situasi tenat berkaitan jangkitan COVID19 ketika tempoh pandemik lalu, turut membuatkan masyarakat panik, hal itu sudah dinafikan KKM.

Mengulas mengenai situasi COVID-19 ketika ini, Dr Muhammad Amir berkata, varian mempunyai kepentingan (VOI) iaitu XBB.1.5 yang dilaporkan di Eropah diketahui amat senang berjangkit.

“Namun dari segi keterukan dan ‘immune escape’ ia lebih rendah berbanding varian pada permulaan pandemik.

“Selain itu, dengan ketiadaan data yang mencukupi, sukar kita mengenalpasti varian utama yang berkitar dalam negara sekarang atau mempunyai gejala teruk.

“Bagaimanapun, kita menjangkakan varian yang sama dalam kitaran di Eropah itu juga mungkin berpotensi berada dalam negara memandangkan pergerakan rakyat masuk dan keluar,” katanya. —  Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button