Sukan

JDT juara Final Piala FA, tewaskan Selangor FC 6-1

Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal disekat untuk terus menjuarai kejohanan bola sepak tempatan apabila tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Selangor FC 6-1 dalam perlawanan akhir Piala FA 2024 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Perlawanan yang ditunggu-tunggu ini berlangsung dalam keadaan agak tegang terutama di separuh masa pertama, apabila para pemain mempamerkan permainan berintensiti tinggi serta agresif dengan melakukan larina-larian laju dan rempuhan keras ke atas pemain lawan.

JDT yang lebih banyak menguasai permainan memperoleh gol pertama mereka melalui Juan Muniz yang melaku tendangan percuma padu ke kiri gawang gol Selangor pada minit ke-26, sekaligus menewaskan penjaga gol Samuel Somerville.

Pemain kebangsaan Arif Aiman walaupun kurang menonjol di separuh masa kedua, tetap memberikan sumbangan bermakna apabila menjaringkan gol kedua JDT melalui tandukan di minit ke-42 selepas mendapat hantaran lintang daripada Heberty.

Di separuh masa kedua, Selangor kembali rancak mengatur gerak dan hampir merapatkan kedudukan menerusi percubaan Alvin Fortes dan Noor Al-Rawabdeh.

Gol yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila Alvin Fortes melakukan gerakan solo dan kemudiannya melepaskan rembatan kencang menewaskan Syihan Hazmi pada minit ke-59.

Bagaimanapun, tiga minit selepas itu JDT kembali selesa untuk berada di hadapan selepas Bergson menjaringkan gol ketiga pasukan yang boleh dianggap sebagai gol pemusnah harapan Selangor untuk terus bangkit.

Peluang Selangor untuk bangkit tampak bagai tertutup apabila Muniz menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-67 selepas rembatan derasnya menewaskan Somerville buat kali keempat dan Somerville digantikan Azim Al-Amin selepas gol keempat JDT itu.

Tiada belas kasihan ditunjukkan JDT buat Selangor meskipun selesa dengan empat gol apabila Heberty Fernandes menambah gol kelima pada minit ke-75 sebelum Muniz melengkapkan hatriknya menerusi satu lagi sepakan percuma pada minit ke-90.

Muniz melengkapkan hatrik dan jaringan keenam untuk kemenangan besar 6-1 ke atas Gergasi Merah.

Artikel Berkaitan

Back to top button