Sukan

JDT tak beraksi seperti biasa – Solari

JDT mencatatkan kekalahan 0-5 menentang Kawasaki Frontale pada Selasa.

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Tidak beraksi sebagaimana biasa dilihat antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan 0-5 skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) kepada Kawasaki Frontale pada aksi Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC (ACL), di Stadium Todoroki Atheletic, pada Selasa.

Malah, pengendali skuad Harimau Selatan, Esteban Solari jelas bernada kecewa susulan kekalahan tersebut turut mengesahkan skuad Harimau Selatan itu tersingkir dari saingan ACL kali ini, biarpun masih berbaki satu perlawanan.

“Bagi kami (perlawanan) malam ini (Selasa), agak berbeza di mana kami tidak beraksi dengan ‘permainan’ yang kami inginkan.

“Ini bermakna kami (JDT) telah tersingkir daripada saingan kali ini, biarpun masih ada satu perlawanan untuk diharungi selepas ini.

“Biarpun nampak kami beraksi dengan yakin (di awal permainan), namun kami tidak beraksi sebagaimana yang sepatutnya,” katanya dalam sidang akhbar sejurus tamat perlawanan pada Selasa seperti dilapor Sinar Harian.

Pada perlawanan berkenaan, gawang JDT bolos seawal minit ke-8 menerusi jaringan Akihiro Ienaga sebelum Leandro Damiao menanduk masuk gol kedu apada minit ke-50 dan disusuli Marchinho pada minit ke-60.

Pemain gantian Yu Kobayashi kemudiannya menjaringkan gol keempat pada minit ke-69 sebelum pemain pertahanan, Miki Yamane meledak gol kelima pada minit ke-88 bagi melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah.

Skuad Harimau Selatan itu bakal mengharungi satu lagi aksi Kumpulan I berdepan pasukan tercorot, BG Pathum United di Stadium Sultan Ibrahim pada 12 Disember kelak.

Sementara itu Solari menyifatkan skuad kendaliannya itu telah beraksi dengan baik namun dilihat hilang tumpuan secara tiba-tiba hingga menyumbang kepada kekalahan tersebut.

“Keyakinan itu ada, namun secara tiba-tiba kami seolah-olah hilang tumpuan namun tidak ada lagi ulasan lanjut berhubung perkara berkenaan,’ katanya. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button