Sukan

JDT turun skuad terkuat lawan NSFC

JDT sebelum tewas kepada Kawasaki Frontale dala saingan ACL.

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Johor Darul Ta’zim (JDT) berwaspada ancaman yang mampu ditampilkan Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Walaupun skuad yang dibimbing Esteban Solari tampak berkedudukan selesa melangkah ke separuh akhir selepas menang 3-0 ke atas skuad kendalian K Devan dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, 13 September lalu, pengendali dari Argentina itu tetap menganggap ia perlawanan sukar.

Justeru, Solari tetap akan menurunkan barisan terbaik untuk berdepan skuad Hobin Jang Hobin yang akan turun habis-habisan bagi memburu ketinggalan defisit tiga gol.

“Sama ada akan berlaku rombakan kecil dalam kesebelasan utama, saya belum putuskan lagi kerana kami baru sahaja mengharungi aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL), walaupun tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale tapi pemain JDT tampak tidak putus semangat.

“Sebaliknya mereka memberi fokus dalam persiapan berdepan Negeri Sembilan dan mahu meneruskan momentum kemenangan pada aksi suku akhir,” katanya.

Mengenai status Fernando Forestieri yang sudah mula beraksi bersama Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam saingan Piala MFL selepas pulih daripada kecederaan, Solari berkata pemain import kelahiran Argentina itu perlu minit permainan supaya bersedia untuk diturunkan dalam skuad utama.

“Hanya Leandro (Velazquez) yang masih menjalani proses pemulihan dan ia memakan masa untuk pulih sepenuhnya dan Fernando pula turun beraksi bersama JDT II untuk mengembalikan tahap kecergasan,” katanya. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button