Jemaah tahfiz terkejut jumpa bayi bersama uri depan pusat tahfiz di Rantau Panjang
Bayi itu ditemukan sekumpulan jemaah tahfiz yang ingin menunaikan solat Subuh

KUALA LUMPUR 7 Jan. – Sekumpulan pelajar tahfiz terkejut selepas menemukan bayi perempuan masih bertali pusat dan uri di sebuah Pusat Pengajian Islam As Salam, dekat Rantau Panjang, Perak, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Sarudin Samah, berkata bayi itu ditemukan kira-kira jam 5.30 pagi ketika jemaah tahfiz yang mahu menunaikan solat subuh memeriksa sebuah kotak mencurigakan yang ditemui di hadapan pintu pagar premis itu.
“Kita percaya bayi berkenaan ditinggalkan di kawasan berkenaan dalam tempoh kurang tiga jam.
“Bayi kemudian dibawa ke Hospital Selama sebelum ditempatkan di Hospital Taiping berikutan keadaan beratnya iaitu sekitar dua kilogram.
“Bagaimanapun bayi itu dalam keadaan stabil dan masih dalam rawatan,” katanya.
Sarudin berkata, siasatan masih lagi diteruskan termasuk pemeriksaan lanjut melalui rakan kamera litar tertutup pusat tahfiz, namun sehingga kini belum menemui pelakunya.
“Kita juga membuat pemeriksaan di klinik swasta bagi mengesan kemungkinan ada individu mendapatkan rawatan bersalin.
“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan polis,” katanya. — Berita Harian