Berita

Jenazah Muhammad Akil Syauqi selamat dikebumikan

Jenazah kanak-kanak lelaki yang maut selepas termakan makanan ringan disyaki mengandungi racun tikus, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan dekat sini, kira-kira pukul 9.45 malam tadi.

Terdahulu, van yang membawa jenazah Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dari Hospital Pulau Pinang (HPP) tiba di pekarangan rumah datuk dan neneknya di Kampung Banggol Berangan kira-kira pukul 6 petang.

Solat jenazah kemudian diadakan di Surau Lebai Ahmad, Kampung Banggol Berangan yang dipimpin imam Masjid Al Halimi Kampung Selarong Abdul Manaf L Saad.

Kira-kira 300 orang termasuk ibu mangsa, Nurain Hasnorizal, 25, ahli keluarga dan penduduk sekitar hadir pada pengebumian itu.

Sementara itu, datuk mangsa, Hasnorizal Ab Wahab, 46, menzahirkan rasa syukur kerana urusan pengebumian cucunya itu selesai dengan lancar.

“Syukur alhamdulillah … semua dah selesai … saya reda,” katanya kepada media di pekarangan tanah perkuburan itu, bagaimanapun ibu kanak-kanak terbabit enggan ditemu bual pemberita.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Akil Syauqi dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, berada dalam keadaan kritikal selepas termakan makanan ringan disyaki mengandungi racun di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini Ahad lepas.

Dua kanak-kanak terbabit dipercayai mengambil peket makanan ringan yang digantung di dawai besi pagar kebun oleh seorang pemilik kebun, yang dikatakan untuk memerangkap monyet.

Kejadian itu disedari ibu mangsa pada 11 pagi hari kejadian selepas melihat kedua-dua anaknya muntah dan mulut mereka berbuih.

Kedua-dua mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Malau sebelum dihantar ke Hospital Kulim dan seterusnya HPP.

Muhammad Akil Syauqi bagaimanapun meninggal dunia pada 8.40 pagi tadi, manakala adiknya dirawat di HPP dan dilaporkan masih belum sedar. – BERNAMA

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button