Berita

Jenazah Nur Farah Kartini dikebumikan di Pekan, Pahang – Abang

Jenazah bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25, dijangka akan dikebumikan di Pekan, Pahang, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Abang mangsa, Mohd Fariza Amir Abdullah, 28, ketika dihubungi.

Katanya, jenazah akan dituntut hari ini, selepas semua prosedur selesai.

Bagaimanapun, Mohd Fariza tidak memperincikan bila proses pengebumian akan dilaksana dan tanah perkuburan yang ditetapkan.

Beberapa pengamal media berkumpul di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini, seawal jam 7 pagi tadi.

Sehingga jam 8.30 pagi, tiada ahli keluarga mahupun rakan Nur Farah dilihat berada di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.

Media semalam melaporkan melaporkan bekas graduan UPSI yang dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan mati di kawasan tidak jauh dari Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Mayat Nur Farah Kartini ditemukan kira-kira 6 petang kelmarin dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Susulan itu, polis turut menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis Perak kemudian mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kronologi kes kehilangan Farah Kartini

KRONOLOGI kehilangan dan pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25. Mangsa yang berasal dari Sarawak merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan bekerja di bahagian pemasaran digital sebuah kedai percetakan di Perak.

11 Julai 2024

● Polis menerima laporan pada jam 1.56 pagi berhubung kehilangan Nur Farah Kartini selepas gadis itu menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim.

● Nur Farah Kartini dilaporkan kali terakhir dilihat selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di sebuah taman perumahan di Tanjung Malim kira-kira jam 8 pagi 10 Julai lalu.

● Mangsa kemudian didakwa menaiki sebuah kereta berwarna merah yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya berikutan hujan ketika itu.

● Gadis itu kali terakhir dilihat berpakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam

● Komunikasi terakhir antara seorang kakitangan bahagian pengurusan kedai percetakan terbabit dengan gadis itu ialah pada jam 8.14 pagi (hari kejadian) dan mangsa tidak dapat dihubungi selepas itu.

12 Julai 2024

● Seorang kakitangan bahagian pengurusan kedai percetakan merayu Nur Farah Kartini pulang, menerusi laporan media

● Gadis itu disifatkan sebagai seorang yang komited dalam kerja sepanjang hampir setahun bekerja di kedai percetakan berkenaan.

● Nur Farah Kartini dilaporkan tidak bekerja dengan syarikat perkhidmatan kereta sewa, sebaliknya hanya membantu sesiapa yang mahu menyewa kereta kerana mendapat komisen daripada usaha itu

● Abang Nur Farah Kartini yang tinggal di Selangor dilaporkan pergi ke Tanjung Malim pada malam hari kejadian untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan lanjut mengenai kehilangan adiknya itu.

15 Julai 2024

● Mayat Nur Farah Kartini dilaporkan ditemui di FELDA Gedangsa, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang. Mangsa dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

● Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Khan, berkata hasil pemeriksaan awal mengesahkan mayat itu adalah mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim

● Seorang suspek berusia 26 tahun ditahan

● Abang mangsa ke lokasi kejadian

16 JULAI 2024

● Seorang penjawat awam yang ditahan bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini, tiba di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada jam 8.48 pagi. Suspek dilihat memakai pelitup muka dan berbaju lokap polis berwarna oren.

● Hakim Mahkamah Sesyen, Nurul Mardhiah Mohammed Redza, mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas penjawat awam berusia 26 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

● Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan bahawa suspek adalah teman lelaki mangsa. Berpandukan siasatan terhadap suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, petang semalam.

● Abang mangsa, Mohd Farriza Azmi Abdullah, berkata jenazah Nur Farah Kartini dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak, untuk dikebumikan.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button