KUALA LUMPUR 5 Dis. – Segelintir pemimpin UMNO yang dilihat beria-ia ‘menjilat’ DAP didakwa menjadi punca kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang lalu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkata, perkara itu yang membuatkan orang Melayu menolak UMNO yang dilihat sudah jauh tersasar daripada perjuangan sebenar.
“Sebab kekalahan kita (di PRK Kemaman), ada beberapa orang yang mempromosikan DAP dalam UMNO …cukup-cukuplah jadi ‘penjilat’ DAP. Janganlah bila kepentingan DAP tergugat, kamu yang terkoyak lebih.
“Mereka nak pertahankan DAP sangat, sampai jadi ‘penjilat’ tegar. Itu orang Melayu tak suka.
“Lagi kamu ‘jilat’, lagi kamu pertahan DAP selagi itulah orang Melayu akan ‘reject’ kita dan lagi kita akan kalah pilihan raya. Itu kita kena sedar,” katanya menerusi akaun media sosialnya hari ini.
Menurut Isham, UMNO perlu kembali memperjuangkan penyatuan parti-parti Melayu jika ingin mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu yang kini sudah beralih kepada Perikatan Nasional (PN).
“Kepada anasir-anasir yang dah jadi tali barut parti lain, nak jadi ‘barua’ memecahkan orang Melayu, itu yang kita kena tentang habis-habisan.
“Kita kena sedar dalam UMNO dan perbaiki diri kita supaya kita kembali relevan dan dapat sokongan orang Melayu dan usahakan orang Melayu di negara ini bersatu kembali,” katanya.
PRK Kemaman Sabtu lalu, yang menyaksikan calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti 37,220 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mendapat 64,998 undi manakala lawannya dari calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan 27,778 undi.
Majoriti yang diperoleh calon PAS kali ini melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi. — Xklusif