Berita

Johari akui hilang kawan lepas jadi Speaker Dewan Rakyat

Johari mengulangi pendiriannya tidak memihak kepada mana-mana blok ahli Parlimen.

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sekali lagi mengulangi pendirian beliau tidak memihak kepada mana-mana blok ahli Parlimen ketika mempengerusikan persidangan.

Tegas bekas Ahli Parlimen Sungai Petani itu, apa yang menjadi keutamaannya ialah memastikan isu berkaitan rakyat dapat dibahaskan dan diselesaikan dengan sebaiknya.

“Kita berkawan tapi bila saya duduk di sini, saya hilang kawan. Saya kena betul-betul uruskan (ruang perbahasan) kerana masa rakyat hantar (pilih) kita, mereka hendak produktiviti.

“Kalau saya melayan semua (perkara yang dibangkitkan) tidak boleh sebba itu kita kena tegas. (Sebab) bila saya kata duduk sekali (tetapi) tidak duduk, dua kali tidak duduk (juga), saya kena pakai nombor kerana kita kena adil,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang tidak berpuas hati apabila peraturan mesyuarat yang dibangkitkan supaya memberi perlindungan kepadanya ditolak.

Awang membangkitkan peraturan tersebut bagi meminta perlindungan Dewan Rakyat kerana mendakwa dirinya diugut Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal susulan membuat kritikan terhadap wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengumumkan secara terbuka menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya hendak minta dengan Yang Dipertua janganlah terlalu keras dengan saya (tapi) dengan Hulu Langat buat apa pun tidak mengapa tetapi dengan saya panggil untuk halau saya. Tidak boleh macam tu.

“Saya ada hak. Saya tengok Speaker amat emosi dengan saya,” katanya.

Menjawab perkara itu, Johari menafikan beliau bersikap sedemikian sebaliknya sentiasa berusaha untuk adil kepada semua ahli Parlimen.

Sehubungan itu, beliau juga meminta Hashim membuat usul untuk diteliti berhubung dakwaan dirinya diugut. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button