Johari dilantik bendahari agung BN, ganti Hishammuddin
KUALA LUMPUR 28 April – Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani sah menggantikan Hishammuddin Hussein sebagai bendahari agung Barisan Nasional (BN).
Pelantikan itu diputuskan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.
Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir berkata, dua lagi Naib Presiden Umno, Wan Rosdy Wan Ismail dan Khaled Nordin serta wakil PBRS, Freddy Sua dilantik menganggotai Dewan Tertinggi BN.
Ketua Pemuda Umno, Akmal Salleh dan Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Fauzi pula dilantik sebagai wakil sayap itu dalam BN.
Dalam pada itu, Zambry berkata, Dewan Tertinggi BN sebulat suara mempertahankan kerajaan perpaduan yang turut dianggotai BN.
“BN komited untuk bersama-sama membangunkan agenda polisi rakyat terus dilaksanakan.
“BN menyeru semua pemimpin dari pelbagai lapisan masyarakat untuk terus menjaga perpaduan dan keharmonian agar kestabilan politik dapat dijamin,” katanya.