Johari pertahan keputusan kekalkan kerusi 6 bekas Ahli Parlimen BERSATU
Walaupun menerima kritikan dan tekanan daripada beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengenai keputusan tidak mengosongkan kerusi disandang enam bekas wakil rakyat BERSATU, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kekal mempertahankan tindakannya.
Menjelaskan hal itu di Dewan Rakyat petang tadi, Johari berkata, keputusan itu dibuatnya selepas melakukan ‘siasatan’ termasuk membaca semua kenyataan berkaitan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
“Saya bukan posmen, bila saya terima apa juga yang telah diberi pada saya, seperti disebut (YB) Beluran (Datuk Seri Ronald Kiandee), saya akan pasti… saya pasti… saya kaji semua, saya baca semua kenyataan-kenyataan dalam pindaan dibuat mengenai Perkara 49 (Perlembagaan Persekutuan).
“Maka saya mengambil keputusan, keputusan kekal seperti yang dimaklumkan kepada Beluran bahawa kekosongan tidak berlaku,” katanya di Dewan Rakyat yang dipetik laporan Berita Harian.
Terdahulu, Ronald yang juga Ketua Whip BERSATU bangun membangkitkan keputusan Johari itu mengikut Peraturan Mesyuarat 99 ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024.
Beliau mahu mendapatkan penerangan dan petua daripada Johari berhubung keputusan yang dibuat dalam surat yang diutuskan kelmarin.
Ronald berkata, beliau bangun bukan untuk mempertikai keputusan berkenaan, tetapi mahu menuntut penjelasan bagaimana interpretasi terhadap Perkara 49(a) Perlembagaan Persekutuan kerana mendakwa Speaker tidak ada kuasa berbuat demikian.
“Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 49(a) tidak memberi kuasa kepada Tan Sri (Speaker), selain daripada untuk memastikan kekosongan dan bukan untuk membuat keputusan.
“Tetapi dalam dua utusan surat yang saya terima daripada Tan Sri, nyata sekali Tan Sri membuat keputusan, malah Tan Sri membuat interpretasi terhadap Perlembagaan Persekutuan.
“Kedua-dua (keputusan terkandung dalam surat) ini melangkaui kuasa Tan Sri di bawah Perkara 49(a) Perlembagaan Persekutuan kerana dalam Perkara 49(3), Tan Sri hanya diberi kuasa untuk memastikan kekosongan, bukan untuk membuat keputusan,” katanya.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pula berkata, mengikut Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk membuat interpretasi terhadap Perlembagaan itu dan mana-mana perlembagaan persatuan atau pertubuhan adalah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.
Beliau turut merujuk penjelasan yang diberikan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) mengenai tindakan tidak ikut keputusan parti menyebabkan ahli BERSATU terhenti keanggotaan berdasarkan perlembagan parti terbabit.
“Maka ahli tersebut dianggap telah bertukar parti dan perlu mengosongkan kerusi mereka.
“Satu lagi contoh, sekiranya ahli Dewan Rakyat mempunyai prinsip bertentangan dengan prinsip parti dan menyebabkan keanggotaannya digugurkan disebabkan perlembagaan parti tersebut (maka) berhenti menjadi ahli dan perlu bertukar kerusinya,” katanya.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pula menyokong keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang mengisytihar kekosongan di DUN Nenggiri.
Beliau turut mendakwa keputusan Speaker Dewan Rakyat itu bakal mencetuskan masalah pada masa akan datang.
“Speaker Kelantan (bersikap) betul putuskan ada kekosongan. Kemudian (wakil rakyat itu) nak lawan saya di mahkamah bahawa saya tidak hentikan keanggotaan mereka. Itulah caranya Speaker. Itulah kepastian yang harus diikuti dalam perlembagaan.
“Saya minta Tan Sri faham, keputusan Tan Sri itu keputusan yang salah…. Speaker kena jadi ‘non partisan’,” katanya yang kemudian keluar Dewan, diikuti semua Ahli Parlimen pembangkang tanpa menunggu penjelasan Johari.
Semalam, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, parti itu menerima surat makluman bertarikh 9 Julai daripada Johari bahawa enam bekas Ahli Parlimen BERSATU yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat.
Enam Ahli Parlimen yang dikekalkan kedudukan sebagai wakil rakyat walaupun keahlian mereka digugurkan daripada BERSATU adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).