Politik

Johor tak perlu Kerajaan Perpaduan

Perkara yang penting adalah rakyat menerima manfaat daripada kerajaan sedia ada ketika ini

KUALA LUMPUR 28 Dis – Penubuhan Kerajaan Perpaduan iaitu gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Johor bukanlah suatu keperluan mendesak.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara yang penting adalah rakyat menerima manfaat daripada kerajaan sedia ada ketika ini.

“Bagi saya sama ada tubuh atau tidak Kerajaan Perpaduan ini. Kita nak tengok Kerajaan itu stabil.

“Bagaimana Kerajaan itu stabil dan berjalan dengan baik, maka saya rasa tiada masalah. “Justeru, tidak ada keperluan untuk kita mendesak Kerajaan Negeri Johor untuk tubuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Perlepasan Misi Bantuan Banjir Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.

Sebelum ini, seorang perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa supaya Kerajaan Perpaduan di Johor segera ditubuhkan.

Perwakilan Johor, Zuhain Zain berkata, ketika ini, kerajaan di negeri berkenaan hanya diterajui satu parti iaitu BN.

“Keadaan ini tidak selari dengan semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button