JPJ kutip RM20 juta hasil bidaan nombor pendaftaran
JPJ memaklumkan nombor pendaftaran M1M merupakan NPI paling tinggi dibida dengan nilaian RM622,000.

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan lebih RM20 juta hasil kutipan keseluruhan bagi bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri M_M bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-66.
JPJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan nombor pendaftaran M1M merupakan NPI paling tinggi dibida dengan nilaian RM622,000 manakala M5M berada di tempat kedua tertinggi dengan harga RM500,000.
“Ketiga, M8M dengan nilaian RM450,000, diikuti M9M dengan nilai RM402,004 dan kelima, M6M dengan nilaian RM350,000. Siri M_M ini menunjukkan sambutan yang luar biasa daripada pembida-pembida.
“Jumlah penyertaan keseluruhan pembida siri ini adalah sebanyak 25,033 orang dan sejumlah 6,872 pembida telah berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Jelasnya lagi lima nombor yang paling banyak dibida ialah M101M iaitu 39 pembida, M155M (33 pembida), M51M (32 pembida), diikuti dengan M313M (31 pembida) dan seterusnya M39M sebanyak 28 pembida.
“Hasil pembidaan siri M_M ini yang membawa maksud ‘Malaysia Merdeka’ mendapat sambutan daripada pelbagai pihak sekali gus menunjukkan semangat dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2023,” menurut kenyataan itu.
Bidaan nombor pendaftaran melalui Sistem JPJeBid secara dalam talian ini ialah suatu usaha jelas JPJ dalam menyediakan perkhidmatan secara digital kepada seluruh rakyat selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025. — Xklusif