Berita

JPNT siasat dakwaan guru pukul murid di Terengganu

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 10 pagi semalam.

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) sedang menjalankan siasatan dakwaan seorang guru bertindak memukul murid di sebuah sekolah rendah di Kuala Terengganu, semalam.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) JPNT, Azman Othman @ Abdullah, berkata pihaknya tidak boleh memberi sebarang kenyataan kerana kes itu masih dalam siasatan.

“Kita mengesahkan tindakan awal sudah dilakukan selepas menyaksikan video yang ditularkan melalui Facebook (FB) berdurasi 41 saat seorang guru memukul kepala dan menolak seorang murid di sekolah itu.

“Kita difahamkan kejadian itu dikatakan berlaku di dewan perhimpunan ketika perhimpunan diadakan sempena program cegah rokok dan vape, kira-kira jam 10 pagi, semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Video berdurasi selama 41 saat seorang guru memukul kepala dan menolak seorang murid tular dan ditonton kira-kira 35,000 orang dan mendapat 4,799 komen serta dikongsi 5,749 pengikut sejak disiarkan semalam.

Difahamkan, video insiden itu dirakamkan guru daripada sekolah berkenaan dan dimuatnaik melalui FB sejak semalam.

Turut difahamkan, guru berkenaan bertindak memukul kepala dan menolak murid atas kesalahan tidak berdiri tegak ketika perhimpunan itu diadakan.

Guru yang merakamkan video itu dikatakan tidak bersetuju dan kurang senang dengan tindakan dan kaedah pentadbiran sekolah berkenaan.

Seorang guru yang enggan namanya disiarkan berkata, dua murid lelaki yang hanya melakukan kesalahan tidak berdiri tegak dipukul guru berkenaan pada perhimpunan.

“Biarlah nak saman atau nak kena apapun, kita nak muat naik juga, tiada niat nak buka aib, tetapi untuk dijadikan peringatan kepada orang.

“Mu cikgu ke, guru besar ke atau penolong kanan (PK), x kisahlah, kita bukannya bertujuan nak mengaibkan, tetapi dia yang mengaibkan diri sendiri,” komen beberapa pengikut FB berkenaan.

Seorang lagi pengikut FB secara ringkas berkata, pendidik harus terdidik. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button