Berita

‘Jual lah sambal guna identiti dan jenama awak sendiri’ – Khairul Aming ambil tindakan penjual Sambal Nyet ciplak

Khairul Aming mendakwa sudah mengetahui tentang perkara tersebut awal lagi namun bertindak mengumpulkan bukti terlebih dahulu

KUALA LUMPUR 28 Dis – Pempengaruh Khairul Aming mengambil tindakan terhadap seorang peniaga gara-gara menciplak hampir 90 peratus bungkusan Sambal Nyet yang dijualnya sejak tiga tahun lepas.

Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman berkata, pihaknya sudah mengetahui tentang perkara tersebut awal lagi namun bertindak mengumpulkan bukti terlebih dahulu.

Katanya, setelah mengenalpasti peniaga tersebut, peguamnya telah menghantar Notis Tuntutan (Letter of Demand) atas pelanggaran hak harta intelek dan penghapusan (passing off).

“Ini adalah sambal Nyet Khairi yang kita dah beli sebagai bukti dan untuk jejak siapa penjualnya. Sangatlah sama, depan sama, penceritaan di sebelah tepi sama.

“Bahagian ramuan pun sama. Kad pos di depan pun sama, talian khidmat pelanggan pun sama juga. Saya selalu beri sokongan kepada peniaga kecil tapi berniagalah dengan cara yang beretika dan berhemah.

“Jangan aniaya orang ramai macam ni. Ramai pelanggan tertipu dengan pembelian ni sebab mereka ingat ni Sambal Nyet asli tapi sebenarnya bukan,” katanya dalam satu ciapan di aplikasi X.

Tambah Khairul Aming, terdapat lapan tuntutan yang disenaraikan dalam ‘Letter of Demand’ tersebut dan jika peniaga berkenaan gagal penuhi kesemuanya, kes akan dibawa ke peringkat seterusnya.

Untuk rekod, Sambal Nyet telah didaftarkan trademark (tanda dagangan) di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan diluluskan pada tarikh 2 November 2021.

Dalam pada itu, Khairul Aming berkata, kejadian seperti ini bukanlah kali pertama terjadi namun terdapat segelintir pihak yang masih degil menciplak Sambal Nyet.

“Saya selalu sokong peniaga kecil-kecilan tapi kalau nak berniaga bukan macam ini caranya. Kalau awak ada produk makanan ke sambal ke, jual lah tapi guna identiti dan jenama awak sendiri

“Dan pesanan saya untuk peniaga di luar sana, kalau ada kesempatan pergilah daftar ‘trademark’ bisnes anda.

“Boleh pergi daftar dan lindungilah bisnes anda supaya tak ada orang salah guna nanti. Akhir kata carilah rezeki berkat dan halal serta terima kasih buat semua yang sokong Sambal Nyet sejak tiga tahun lepas,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial seorang peniaga menjual ‘Sambal Nyet Khairi’ di platform e-dagang dengan menggunakan bungkusan dan pemasaran sama seperti produk Khairul Aming.

Pengguna media sosial lantas menggesa Khairul Aming agar mengambil tindakan segera susulan ramai yang terpedaya menganggap sambal tersebut adalah produk pempengaruh itu. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button