Viral

Jual vape di mesin layan diri jelas langgar undang-undang – MCPF

KES penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah bercampur dengan bahan yang kesannya lebih menggerunkan berbanding dadah jenis methamphetamine dan syabu menunjukkan trend yang membimbangkan.

Hasil kajian Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) baru-baru ini mendapati 65% daripada 152 pelajar sekolah di Kelantan dikesan terlibat menghisap vape dicampur bahan dikenali sebagai “magic mushroom”.

Perkara itu didedahkan Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Saifuddin Nasution Ismail sewaktu membentangkan pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 di Parlimen, Selasa lalu.

Oleh itu, MCPF terpanggil untuk mengulas isu penjualan vape secara terbuka tanpa sebarang pemantauan menerusi mesin layan diri di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Klang seperti dilaporkan Buletin Utama TV3, baru baru ini.

MCPF memandang serius perkara ini dan menegaskan bahawa tindakan pemilik mesin layan diri itu sebagai tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.

Ia bukan saja menggalakkan budaya merokok dalam kalangan masyarakat, malah turut mendorong kepada langkah awal kanak-kanak, remaja bawah umur dan pelajar sekolah untuk terjebak dalam penagihan dan penyalahgunaan dadah di negara ini.

Penjualan secara terbuka seperti itu dikhuatiri memudahkan akses golongan terbabit untuk mendapatkan peranti merokok itu tanpa pengawasan.

Tindakan pemilik mesin layan diri itu jelas melanggar Fasal 10 (1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang mana: “Tiada seseorang pun boleh menjual atau mempamer bagi penjualan apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau melainkan jika jualan atau pameran bagi penjualan itu mematuhi kehendak sebagaimana yang ditetapkan”.

Malah, kaedah penjualan vape tanpa pemantauan seperti ini boleh mendorong pembelian mudah dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang jelas melanggar Fasal 14 (1) akta sama berhubung larangan penjualan bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok kepada mana-mana individu yang lahir pada 1 Januari, 2007 dan seterusnya.

Justeru, MCPF berharap agar pihak bertanggungjawab seperti KKM dapat menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang diluluskan Parlimen pada hujung tahun lepas dan diwartakan Februari lalu secepat mungkin bagi memastikan generasi baharu tidak terjebak dengan ketagihan vape sekali gus mengawal penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan

Back to top button