Ekonomi

Jualan diesel di sempadan turun 40 peratus, sah penyeludupan berlaku – Amir Hamzah

JUALAN diesel di sempadan menunjukkan penurunan 40 peratus sejak kerajaan mengumumkan pengapungan harga subsidi, sekali gus mengesahkan memang wujud aktiviti penyeludupan bahan api ke negara sempadan sebelum ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lalu menyaksikan jumlah jualan runcit di stesen minyak menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30 peratus untuk minggu pertama, berbanding minggu sebelumnya.

“Selain itu, jualan diesel komersial pula meningkat sebanyak empat juta liter sehari yang memberi isyarat bahawa sebahagian penggunaan diesel runcit bersubsidi selama ini, sudah digunakan oleh sektor industri yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran.

“Ini bermakna, trend peningkatan jualan diesel komersial menggambarkan tanda positif bahawa ketirisan diesel bersubsidi sudah berkurang,” katanya pada sesi penerangan menteri berkaitan penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengapungan harga diesel tidak bermaksud kerajaan memansuhkan sepenuhnya subsidi ke atas bahan bakar itu, memandangkan ketika ini, kerajaan masih menanggung subsidi diesel sehingga RM10 bilion, menurun berbanding RM14 bilion tahun lalu, sekaligus menyaksikan penjimatan RM4 bilion setahun.

“Kerajaan mampu meraih penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion. Penjimatan ini tentunya dapat dimanfaat untuk menambah baik mutu hidup rakyat melalui penyediaan infrastruktur awam berkualiti serta perlindungan sosial yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, perbelanjaan subsidi diesel negara sudah meningkat 10 kali ganda iaitu daripada RM1.4 bilion pada 2019, kepada RM14.3 bilion pada tahun lalu.

“Trend kenaikan subsidi diesel ini tidak mampu lagi ditampung kerajaan secara berterusan. Peningkatan belanja subsidi bukan hanya disebabkan kenaikan harga pasaran tetapi juga akibat peningkatan ketirisan diesel bersubsidi.

“Jumlah diesel bersubsidi yang digunakan naik mendadak sekitar 80 peratus iaitu daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter tahun lalu, walaupun tiada peningkatan kenderaan diesel baharu yang ketara dalam tempoh sama.

“Pada masa sama, jumlah jualan diesel komersial tanpa subsidi pula turun sebanyak dua bilion liter dalam tempoh itu. Peningkatan penggunaan diesel bersubsidi amat ketara ini disebabkan jurang perbezaan harga besar antara harga komersial dengan harga runcit diesel bersubsidi di pam Malaysia,” katanya.

Katanya, harga runcit diesel Malaysia yang jauh lebih murah berbanding negara jiran, antaranya Thailand sekitar RM4.20, Indonesia lebih kurang RM4.40 dan Singapura hampir mencecah RM9.00 seliter, membolehkan sebilangan perniagaan sektor komersial tempatan yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran mengambil kesempatan menikmati dan menyeleweng diesel bersubsidi secara tidak sah.

“Contohnya, mereka membeli diesel bersubsidi daripada stesen minyak dan disalahgunakan untuk generator di kilang, tapak pembinaan atau ladang sawit.

“Isu lebih utama ialah, akibat harga diesel kita yang amat murah, ia menyebabkan aktiviti penyeludupan diesel ke negara jiran sukar dibendung. Inilah yang ditemui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semasa Ops Tiris,” katanya.

Dalam pada itu, Amir berkata, setakat 20 Jun lalu, sebanyak 73,000 syarikat membabitkan 223,000 kenderaan pengangkutan barangan darat membuat permohonan dan diluluskan untuk menikmati diesel pada harga RM2.15 seliter.

“Setakat 19 Jun lalu, sebanyak 100,000 pemohon di bawah BUDI MADANI Individu dan BUDI MADANI Agri- Komoditi sudah diluluskan. Daripada jumlah berkenaan, 76,000 pemohon sudah menerima bantuan tunai bulanan RM200 mereka seawal 10 Jun lalu,” katanya.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button