Jumlah mangsa banjir meningkat di Sabah

Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara di Sabah meningkat kepada 4,555 orang daripada 1,493 keluarga setakat jam 8 malam hari ini, berbanding 4,159 orang daripada 1,362 keluarga pada jam 4 petang.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah memaklumkan bahawa lapan pusat pemindahan di Tenom kini menempatkan 1,162 mangsa daripada 435 keluarga.
Di Beaufort, terdapat empat pusat pemindahan yang menempatkan 1,719 mangsa daripada 556 keluarga, manakala dua pusat di Membakut menampung 896 mangsa daripada 302 keluarga.
Dua pusat pemindahan di Sook kini menempatkan 778 mangsa daripada 200 keluarga, namun dua pusat di Keningau telah ditutup selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Jumlah mangsa di Beaufort dan Membakut terus meningkat, manakala keadaan di Sook dan Tenom kekal stabil,” menurut kenyataan jawatankuasa itu.
Sementara itu, di Sarawak, kesemua empat pusat pemindahan yang menempatkan 352 mangsa banjir di kawasan utara telah ditutup awal hari ini selepas air banjir surut, membolehkan mangsa pulang ke rumah mereka.