Juruterbang dedah punca pesawat terjunam
Juruterbang mengesahkan beberapa punca menjadi sebab kapal terbang terjunam.

SHAH ALAM – Nahas jet peribadi terhempas di Bandar Elmina di sini yang mengorbankan 10 orang termasuk juruterbang pada Khamis telah mencetuskan pelbagai persoalan memandangkan kejadian itu berlaku secara mendadak manakala pesawat tiba-tiba terjunam ke bumi.
Hilang kawalan, muatan tidak stabil, kerosakan salah satu enjin atau kegagalan sistem teknikal antara punca menyebabkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) milik Jet Valet Sdn Bhd itu terhempas.
Hal itu juga mungkin menyebabkan juruterbang tidak menghantar sebarang isyarat kecemasan sebelum pesawat terhempas.

Bekas Ketua Juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, pesawat tersebut mungkin hilang kawalan ketika berada pada kedudukan antara 1,500 kaki hingga 3,000 kaki sebelum mendarat.
Beliau berpandangan, pada altitud berkenaan, juruterbang sukar melakukan sebarang tindakan drastik ekoran pesawat yang terbang turun dari aras tinggi mencecah kelajuan 3,000 kaki seminit dan 700 kaki seminit semasa mendarat.
“Sekiranya pada ketinggian 20,000 kaki pesawat hilang kawalan, juruterbang masih ada masa bertindak.
“Namun jika pesawat berada dekat dengan permukaan bumi, dalam 20 saat ke satu minit boleh berlaku kejadian (terhempas).
“Juruterbang mungkin tiada masa untuk menilai apa yang terjadi dan membuat pergerakan yang sepatutnya kerana masa amat singkat dan terkejut,” katanya.
Bagaimanapun katanya, isu pesawat kehabisan minyak tidak timbul dan ini boleh disahkan dari log di Langkawi. Ini kerana letupan dan kebakaran selepas pesawat terhempas, bermakna ia masih mempunyai bahan bakar mencukupi untuk mendarat.
Teori lain ialah berlaku perubahan angin secara tiba-tiba walaupun ketika itu cuaca dilaporkan baik dengan jarak penglihatan sehingga 10 kilometer, ujarnya.
Mengenai penemuan alat perakam suara kokpit (CVR), Nik Ahmad Huzlan berkata, kotak hitam berkenaan boleh membantu pihak berkuasa merungkai punca nahas tersebut.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, rakaman suara sahaja tidak mampu menerangkan punca sebenar kejadian namun ia membantu memberi pencerahan.
“Contohnya kalau juruterbang tertidur atau pengsan, dia tidak bercakap (tetapi) alat perakam pesawat mampu memberi maklumat (apa yang berlaku),” katanya. — Sinar Harian