
KUALA LUMPUR 30 Nov. – Statistik jenayah indeks di Kuala Lumpur bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 410 kes atau 10 peratus berbanding 4,173 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata jenayah kekerasan secara keseluruhannya mencatatkan penurunan sebanyak 122 kes atau 14 peratus tahun ini berbanding 288 kes tahun sebelumnya.
Katanya, kes jenayah kecurian atau kehilangan harta benda turut mencatatkan penurunan sebanyak 288 kes atau sembilan peratus pada tahun ini.
“Bagi kes berkaitan dadah pula, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM101 juta sejak Januari hingga Oktober 2023, berbanding RM122 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
“Statistik tangkapan bagi Januari hingga September lalu berbanding tempoh yang sama tahun lalu, mencatatkan peningkatan seramai 481 orang iaitu 12,199 orang bagi tahun ini berbanding 11,718 tahun sebelumnya,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Allaudeen berkata, jenayah komersial terus mencatatkan peningkatan kejayaan dengan 1,439 serbuan dilakukan membabitkan jenayah penipuan dalam talian.
“Sebanyak 83 kertas siasatan telah dibuka membabitkan tangkapan seramai 1,023 orang sejak Januari hingga Oktober lalu.
“Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) IPK Kuala Lumpur juga melaksanakan 2,549 operasi lain dalam mengekang jenayah komersial,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, pula membuka 57,437 kes dengan pencapaian 99.20 peratus.
“Pertuduhan kertas siasatan semasa telah mencapai 98.75 peratus dengan kertas siasatan yang telah dibuka,” katanya.
Beliau berkata, seramai 170 orang pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis dari JSPT Kuala Lumpur telah ditugaskan dalam memantau kesesakan trafik di ibu kota.
“Selain itu, penugasan pegawai dan anggota JSPT juga merangkumi penugasan mengiringi orang kenamaan, bahan letupan, kertas-kertas peperiksaan sekolah dan wang dalam jumlah yang besar, ia adalah antara cabaran dalam penugasan mereka,” katanya. — BH