Berita

Kadar jenayah meningkat, kes rogol paling tinggi

Kes rogol mencatatkan peratus peningkatan tertinggi iaitu 9.6 peratus.

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bilangan kes jenayah seksual meningkat 2.9 peratus dengan 3,303 kes pada 2022 berbanding 3,209 kes pada 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kes rogol mencatatkan peratus peningkatan tertinggi iaitu 9.6 peratus pada 2022.

“Bagaimanapun, kes seks luar tabii, gangguan seksual dan cabul kehormatan masing-masing menunjukkan penurunan sebanyak 10.4 peratus, 5.7 peratus dan 0.5 peratus,” katanya dalam kenyataan mengenai Statistik Jenayah Malaysia 2023.

Mohd Uzir berkata, jenayah indeks dan jenayah komersial, masing-masing menurun sebanyak 4.1 peratus dan 3.0 peratus kepada 50,813 kes dan 30,536 kes pada 2022.

Namun katanya, jenayah siber meningkat 44.3 peratus kepada 577 kes daripada 400 kes dalam tempoh yang sama.

“Jenayah indeks merangkumi jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

“Kedua-dua jenayah ini masing-masing menunjukkan penurunan 10.0 peratus dan 2.4 peratus kepada 10,348 kes dan 40,465 kes pada 2022,” katanya.

Tambahnya, kesemua jenis kesalahan di bawah jenayah komersial pada 2022 yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menurun kecuali kesalahan berkaitan wang palsu dan jenayah siber.

“Kesalahan tipu merekodkan bilangan tertinggi iaitu 27,247 kes (89.2%) diikuti pecah amanah (911 kes; 3.0%) dan kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (832 kes; 2.7%),” katanya.

Bagi kes berkaitan rasuah, Mohd Uzir berkata, bilangan kertas siasatan yang dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan penurunan 1.0 peratus kepada 820 kes (2022) daripada 828 kes (2021).

Katanya, kertas siasatan bagi semua jenis kesalahan pada 2022 merekodkan penurunan kecuali kesalahan tuntutan palsu dan memberi rasuah masing-masing meningkat 41.1 peratus dan 17.9 peratus.

“Bilangan tangkapan yang dibuat oleh SPRM meningkat 6.8 peratus pada 2022 dengan 909 tangkapan berbanding 851 tangkapan (2021). Bilangan tangkapan bagi kesalahan tuntutan palsu pada 2022 meningkat sebanyak 66.9 peratus.

“Tangkapan bagi memberi rasuah, menerima rasuah dan salah guna kedudukan mencatatkan penurunan dalam tempoh yang sama,” katanya.

Sementara itu katanya, bagi kes berkaitan dadah meliputi membekal dadah, memiliki dadah dan positif ujian urin menunjukkan peningkatan sebanyak 30.6 peratus kepada 141,289 kes pada 2022.

“Kesalahan membekal meningkat sebanyak 18.0 peratus, memiliki dadah meningkat sebanyak 35.1 peratus dan positif ujian urin meningkat 31.2 peratus berbanding 2021.

“Bilangan tangkapan berkaitan kes dadah pula meningkat 26.3 peratus kepada 163,697 tangkapan pada 2022 seperti yang dilaporkan oleh PDRM,” katanya.

Mohd Uzir berkata, bilangan saman trafik yang dikeluarkan oleh PDRM pada 2022 meningkat 15.3 peratus kepada 5.3 juta saman berbanding 2021 (4.6 juta saman).

Saman POL_170A meningkat 8.3 peratus kepada 3.2 juta saman dan POL_257 meningkat 28.3 peratus kepada 2.1 juta saman.

“Bagi jenayah maritim, bilangan tangkapan tertinggi yang dilaporkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 2022 adalah kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 (604 kes) dengan peningkatan 5.0 peratus berbanding 575 kes (2021).

“Ini diikuti kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dengan 203 kes (2022) berbanding 198 kes (2021) dan Akta Imigresen 1959/63 dengan 199 kes (2022) berbanding 137 kes (2021),” katanya.

Dari segi fasiliti pemulihan, Mohd Uzir berkata bilangan orang diparol berdasarkan rekod Jabatan Penjara (JPM) pada 2022 mencatatkan peningkatan sebanyak 5.5 peratus kepada 7,613 orang berbanding 7,218 orang (2021).

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyK 96.9 peratus adalah lelaki manakala 3.1 peratus adalah perempuan.

“Bilangan kemasukan banduan sabitan meningkat 24.5 peratus pada 2022 (104,081 penghuni) berbanding 2021 (83,592 penghuni).

“Selangor merekodkan bilangan kemasukan banduan sabitan tertinggi iaitu 27,765 penghuni diikuti Kedah (8,980 penghuni), Johor (8,635 penghuni) dan Sabah (8,412 penghuni),” katanya.

Katanya, berdasarkan aspek pematuhan alam sekitar, bilangan saman yang dikeluarkan bagi pelepasan asap hitam oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 2022 merekodkan peningkatan 119.1 peratus kepada 631 saman daripada 288 saman (2021).

“Saman yang dikeluarkan kepada bas dan kereta/ van masing-masing menunjukkan penurunan iaitu 12.5 peratus dan 5.6 peratus.

“Saman tertinggi dikeluarkan adalah kepada lori (550 saman) diikuti oleh trak ringan (50 saman), kereta/van (17 saman) dan bas (14 saman),” katanya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button