Kadar OPR mungkin diturunkan separuh pertama 2024
Bank Negara Malaysia (BNM) dan kekangan fiskal kerajaan bertindak dengan baik untuk membawa inflasi turun ke lingkungan yang disasarkan
KUALA LUMPUR 23 Jan – Kadar Dasar Semalaman (OPR) mungkin diturunkan pada separuh pertama tahun ini memandangkan inflasi dapat diturunkan ke tahap yang dimahukan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Irhamy Valuers International, Irhamy Ahmad, berkata inflasi adalah cabaran terbesar pada tahun lalu, namun Bank Negara Malaysia (BNM) dan kekangan fiskal kerajaan bertindak dengan baik untuk membawa inflasi turun ke lingkungan yang disasarkan.
“Ini bermakna, kita mungkin akan melihat penurunan OPR pada separuh pertama 2024. Ini akan membantu merangsang lagi ekonomi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Irhamy Valuers International adalah sebahagian daripada Juwai IQI, penyedia penasihat pasaran hartanah terkemuka serantau.
Irhamy berkata, pihaknya menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan meningkat daripada 4.0 peratus pada 2023 kepada 4.3 peratus tahun ini.
Katanya, anggaran itu adalah sejajar dengan unjuran pertumbuhan antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus yang dibuat oleh Kementerian Kewangan.
“Jika kami tepat dan pertumbuhan KDNK mencecah 4.3 peratus pada 2024, itu adalah lebih rendah daripada unjuran 4.9 peratus yang dibuat lima bulan lalu berikutan perdagangan antarabangsa yang lebih lemah,” katanya.
Beliau berkata, antara faktor yang akan mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini adalah jangkaan pemulihan selanjutnya dalam sektor pelancongan.
Katanya, sesuatu yang menarik mengenai pelancongan adalah ia menggaji sejumlah besar bekerja, justeru pertumbuhan dalam sektor itu secara langsung akan memanfaatkan banyak isi rumah dengan menyediakan pekerjaan.
“Salah satu sebab tahun-tahun pandemik adalah amat sukar kepada ekonomi adalah kerana ia menyebabkan perjalanan antarabangsa runtuh, terutamanya oleh pengguna dari China. Industri pelancongan adalah salah satu industri yang paling terkesan oleh pandemik.
“Memandangkan perjalanan antarabangsa telah pulih, sektor pelancongan Malaysia turut meningkat. Pada 2022, pelancongan menyumbang 14 peratus kepada KDNK, berbanding dengan 15.9 peratus pada 2019, sebelum pandemik,” katanya.
Beliau menambah, ekonomi Malaysia juga bergantung kepada kedua-dua permintaan domestik dan eksport.
Katanya, pada 2024, Malaysia akan mencatatkan eksport lebih tinggi berbanding 2023, dengan kenaikan secara berperingkat sepanjang tahun ini
“Peningkatan eksport Malaysia akan dipacu oleh permintaan lebih kukuh dari Amerika Utara dan Zon Euro. Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan volum perdagangan dunia akan meningkat sebanyak 3.3 peratus tahun ini. Jika ekonomi utama mengatasi inflasi dan mengurangkan kadar faedah lebih awal daripada jangkaan, eksport akan berkembang lebih pantas.
“Pada separuh kedua, pasukan saya memindahkan sebuah kilang dari Malaysia ke Mumbai, India. Kilang itu mengeluarkan pakaian sanitari untuk hospital dan ini adalah contoh industri bernilai lebih rendah berpindah keluar dari Malaysia ke lokasi lebih murah untuk ia beroperasi.
“Malaysia sedang dalam peralihan daripada pembuatan bernilai rendah kepada pengeluaran produk yang menjana pulangan lebih tinggi,” katanya. – Berita Harian