“Kalau nak bersihkan nama, letak jawatan Ahli Parlimen sekali”

KUALA LUMPUR 22 Feb – Selepas terpalit dengan kes rasuah melibatkan projek Jana Wibawa sehingga di didakwa di mahkamah, Datuk Wan Saiful Wan Jan membuat satu keputusan yang mengejutkan.
Disebabkan itu juga, Wan Saiful pada hari ini mengumumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu.
Penganalisis politik, Prof Dr Rusdi Omar berkata, apa yang dilakukan Wan Saiful adalah tindakan yang baik.
“Tindakan dia betul, tetapi sebenarnya dalam fasa pendakwaan ini tidak perlu letak jawatan dalam parti pun.
“Cuma kalau dia betul-betul hendak membersihkan namanya, lebih baik dia letak jawatan sebagai Ahli Parlimen.
“Apa yang dilakukannya adalah tindakan yang betul tetapi juga merupaan sebahagian daripada strategi politik,” katanya kepada Xklusif.
Tetapi menurut Rusdi, tindakan yang dibuat oleh Wan Saiful meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu adalah sesuatu yang perlu dihormati dan terpuji.
Untuk rekod, Wan Saiful memaklumkan tindakannya itu adalah untuk memberi tumpuan bagi membersihkan namanya.
Terbaharu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan peletakan jawatan Wan Saiful selaku ketua penerangan parti berkuat kuasa hari ini.
Beliau hanya dimaklumkan perkara itu ketika berjumpa Ahli Parlimen Tasek Gelugor pagi hari ini, namun katanya satu surat peletakan jawatan rasmi akan dihantar kepadanya hari ini.
Terdahulu, Wan Saiful dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Wan Saiful, 48, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi. – Xklusif