Kami berdua pernah kehilangan, itu yang buat kami rapat – Sabri
Sabri dan Angeline sah bernikah di Perlis pada Sabtu.

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Pelakon dan pengarah terkenal, Sabri Yunus mengesahkan dirinya kini bergelar suami kepada aktres Angeline Tan dalam majlis pernikahan yang berlangsung pagi hari ini di Perlis.
Menurut Sabri atau Mohd Sabri Yunus,62, dia dan Angeline mula rapat sejak tiga tahun lalu.
“Saya dan Angeline dah lama kenal sekitar tahun 1992. Tapi baru dalam tiga tahun kami mula rapat.
“Saya memang rancang nak jadikan dia isteri tetapi saya menunggu Angeline benar-benar bersedia untuk memeluk agama Islam.
“Alhamdulillah, awal Oktober baru-baru ini, dia bergelar saudara baru dan selepas itu barulah kami merancang untuk bernikah,” katanya.
Sabri bersyukur kerana ahli keluarga kedua pihak merestui hubungan mereka dan bersetuju untuk mereka melangkah ke fasa rumah tangga.
“Tiga orang anak saya Alhamdulillah semuanya bagi lampu hijau untuk saya bernikah sekali lagi.
“Keluarga di sebelah Angeline juga sama. Masing-masing tidak ada yang membantah malah mereka turut hadir ke majlis pernikahan kami hari ini.
“Saya lega dan bersyukur sangat-sangat niat untuk nikah hari ini berjalan lancar serta dipermudahkan.
“Saya dan Angeline pernah rasa kehilangan…mungkin itu yang membuatkan kami semakin rapat dan saling memahami perasaan masing-masing,” ujarnya yang turut memberitahu tiada perancangan untuk mengadakan majlis resepsi.
Sementara itu, Sabri turut memohon orang ramai mendoakan yang baik-baik agar perkahwinan mereka kekal hingga ke Jannah.
“Doakan yang baik untuk kami. Lebih-lebih lagi Angeline masih baharu lagi dalam agama Islam jadi banyak yang perlu dia dalami.
“Insya-Allah, setiap doa kalian pasti Allah akan makbulkan. Saya harap perkahwinan ini adalah yang terakhir buat kami,” jelasnya.
Untuk info, Sabri dan Angeline mula dikenali selepas membintangi sitkom popular Pi Pi Mai Tang Tu.
Terdahulu, tular foto Sabri dan Angeline yang dikongsikan oleh penyampai radio, Issey Fazlisham di media sosialnya hingga menjadi perbualan orang ramai.
Sabri yang terkenal dengan watak Wan Ismail Golok dan Pok Ya Cong Codei sedondon menyarung persalinan berwarna putih bersama Angeline duduk di atas kerusi.
“Selamat pengantin baru Abang Sabri Yunus dan Kak Ardini/ Angelina Tan. Alhamdulillah kami sangat gembira. Semoga cinta Wan Ismail Golok dan Lucy kekal sampai ke syurga. Pi Mai Pi Mai Tang Tu,” tulis Issey di Instagram miliknya.
Malah, menerusi siaran langsung Facebook Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang turut menjadi jurunikah kepada pasangan pelakon tersebut.
Sabri sebelum ini kehilangan isteri Norraya Mohd Yusuf pada 2007 akibat kanser. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Sementara Angeline pula memiliki dua anak daripada perkahwinan terdahulu. — Xklusif