Berita

‘Kami hargai pengurangan hukuman, tapi…’ – Keluarga Najib

Ahli keluarga Najib kekal dengan pendirian dan yakin bahawa ayahnya itu tidak bersalah, sekali gus wajar dilepaskan dan dibebaskan

KUALA LUMPUR 2 Feb – Ahli keluarga Datuk Seri Najib Razak, melahirkan rasa kecewa berikutan bekas Perdana Menteri itu tidak mendapat pengampunan penuh untuk dibebaskan serta-merta.

Anak kepada Najib, Nooryana Najwa berkata, ini kerana pihaknya dan ahli keluarga kekal dengan pendirian dan yakin bahawa ayahnya itu tidak bersalah, sekali gus wajar dilepaskan dan dibebaskan.

“Walaupun kami menghargai pengurangan hukuman daripada 12 tahun kepada enam tahun yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan setelah pertimbangan pendapat dan nasihat, kami berasa kecewa kerana Datuk Seri Najib Razak tidak mendapat pengampunan penuh dan dibebaskan serta-merta.

“Mereka yang mengikuti kes SRC secara dekat sudah tentunya tahu dan bersetuju dengan penghakiman oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak tahun lalu bahawa ketidakadilan yang besar berlaku ke atas Datuk Seri Najib dan keputusan yang betul ialah beliau wajar dilepaskan dan dibebaskan,” katanya melalui Instagram.

Terdahulu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Najib sejak 2022, sekali gus menyaksikan beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Najib turut perlu membayar denda yang dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

Berita mengenai isu pengampunan Najib berlegar dalam media sosial dan dilaporkan media massa sejak beberapa hari lalu, dengan desas-desus kuat mendakwa nasib bekas Perdana Menteri yang sedang menjalani hukuman penjara itu sudahpun diputuskan oleh Lembaga Pengampunan. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button