Politik

Kami kritik, tapi masih sokong Kerajaan Perpaduan – Syed Saddiq

Syed Saddiq mempertahankan kritikan pedasnya terhadap kerajaan dan berkata, ia penting untuk membina demokrasi matang.

KUALA LUMPUR 21 Julai – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menegaskan walaupun bersuara menentang pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam beberapa isu, beliau masih menyokong Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Muar itu pada masa sama, mempertahankan kritikan pedasnya terhadap kerajaan dan berkata, ia penting untuk membina demokrasi matang.

Syed Saddiq berkata, beliau menyuarakan kebimbangan sebenar berhubung beberapa isu seperti peruntukan kawasan pilihan raya tidak sama rata, pemusatan kuasa dan lanjutan kontrak tanpa kelulusan Parlimen.

“Terdapat begitu banyak perkara yang saya bangkitkan secara konsisten, tetapi semasa saya membangkitkannya, adakah saya kata saya akan menarik balik sokongan (untuk kerajaan perpaduan)? Tidak.”

“Jadi, adakah saya akan terus lakukannya? Ya, kerana saya berada di sini kerana rakyat dan saya bertanggungjawab kepada pengundi saya untuk bersuara bagi memastikan Malaysia menjadi negara maju.

“Sejujurnya, ini kritikan membina yang disertakan penyelesaian dasar,” katanya kepada FMT.

Isnin lalu, Syed Saddiq mempertikaikan kenyataan perdana menteri bahawa Jemaah Menterinya bebas rasuah.

Katanya, kenyataan Anwar menimbulkan persepsi memberi isyarat seolah-olah kes membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan digugurkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Syed Saddiq mendakwa, kenyataan itu memberi persepsi salah, terutamanya ketika beberapa institusi berada di bawah kawal selia Perdana Menteri termasuk Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Komunikasi UMNO, Lokman Noor Adam kemudian menepis kenyataan Syed Saddiq dengan berkata, MUDA kecewa PH tidak memperuntukkan kerusi kepada mereka pada PRN akan datang.

Lokman dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata, “lebih terhormat” jika Syed Saddiq yang “bertindak seperti pembangkang” mengingatkan kerajaan perpaduan dan membuat haluan sendiri untuk MUDA.

Bagaimanapun, Syed Saddiq tetap tidak berputus asa dan mahu terus bersuara serta memberi maklum balas kepada kerajaan perpaduan.

Ditanya sama ada calon MUDA diarah mengelak bercakap mengenai sebarang topik, Syed Saddiq berkata, calon partinya diminta tidak menyentuh dasar kaum dan agama atau melakukan pembunuhan karakter.

“Fokus pada dasar, dasar, dasar dan dasar. Itu sepatutnya menjadi keutamaan. Mengkritik dan bercakap mengenai apa yang kita boleh tawarkan dengan lebih baik,” katanya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button