Kami mengiktiraf sumbangan Daim kepada Malaysia – PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menyampaikan ucapan takziah atas pemergian bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin, pagi ini.
Anwar, yang kini dalam lawatan rasmi ke Amerika Selatan, berkata beliau dimaklumkan mengenai kematian Daim sebaik tiba di Lima, Peru, hari ini.
“Takziah kepada keluarga beliau. Kerajaan mengiktiraf sumbangannya kepada negara, terutama semasa beliau berkhidmat sebagai menteri kewangan,” katanya dalam satu hantaran media sosial.
Mereka pernah berkhidmat bersama dalam Kabinet bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1980-an, ketika Daim merupakan menteri kewangan dan Anwar pula menteri pertanian.
Selepas beberapa tahun di luar politik, Daim kembali pada tahun 1998 untuk mengambil alih jawatan menteri kewangan daripada Anwar.
Anwar telah dipecat oleh Mahathir selepas krisis kewangan 1997 susulan pergeseran antara mereka berdua.
Namun, Anwar dan Daim berada di pihak yang sama sekali lagi pada 2018 apabila Daim berkempen untuk Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Daim juga berkempen untuk Anwar, selepas mendapat pengampunan diraja dan dibebaskan dari penjara, dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Port Dickson pada Oktober 2018.