Berita

Kampung Setia Jaya kekal hingga isu penempatan selesai

Keputusan itu diputuskan bersama pemilik tanah iaitu Yayasan Pendidikan Tunku Abdul Rahman (TAR)

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Kira-kira 500 penduduk Kampung Setia Jaya, Setapak dibenarkan untuk tinggal di kawasan itu sementara isu penempatan dapat diselesaikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bersama pemilik tanah iaitu Yayasan Pendidikan Tunku Abdul Rahman (TAR) yang diwakili Lim Keng Cheng dan Yew Teong Look dalam perbincangan hari ini.

Menurutnya, mereka secara prinsip tiada halangan membenarkan penduduk terus berada di kampung itu sehingga isu penempatan selesai.

“Perbincangan turut memberi fokus kepada isu penggantian rumah kepada penduduk dengan penyelesaian terbaik yang akan diperincikan dengan lebih lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Mahkamah Tinggi pada 19 Dis lalu memutuskan penduduk Kampung Setia Jaya perlu mengosongkan tanah itu dalam tempoh 18 bulan, susulan keputusannya memberi pemilikan tanah kepada Yayasan Pendidikan TAR.

Susulan keputusan itu, penduduk memohon campur tangan kerajaan untuk membantu mereka yang mendakwa telah menduduki perkampungan itu sejak lebih 50 tahun lalu.

Sementara itu, Zaliha berkata menerusi perbincangan terbabit juga beliau yakin isu membabitkan Kampung Setia Jaya dapat diselesaikan dengan baik setelah tertangguh lebih 30 tahun. — FMT

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button