Kanak-kanak empat tahun ditemui bersendirian di rumah penuh timbunan sampah

Seorang kanak-kanak berusia empat tahun ditemui bersendirian di dalam sebuah rumah yang dipenuhi longgakan sampah dalam kunjungan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kelantan.
Rakaman video kanak-kanak berkenaan yang dipercayai terabai kerana ahli keluarga terjerumus dalam pengambilan najis dadah itu tular di sosial media hari ini.
Jurucakap AADK berkata, kanak-kanak berkenaan ditemui semasa kunjungan kakitangan agensi terdengar tangisan anak kecil ketika melintasi sebuah rumah yang kelihatan seperti sudah ditinggalkan.
Pemeriksaan lanjut menemui seorang kanak-kanak sedang berbaring di atas sebidang tilam yang dikelilingi timbunan sampah.
“Kanak-kanak itu dalam keadaan tidak terurus dan amat menyedihkan. Turut menghuni kediaman itu adalah seorang wanita dan juga anak remajanya berusia 18 tahun.
“Situasi itu amat meruntun jiwa menyebabkan AADK menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu keluarga terbabit serta menyelamatkan kanak-kanak kecil itu,” menurut jurucakap AADK.
Menurutnya, pihak JKM segera hadir mengambil kanak-kanak itu untuk diberikan rawatan dan penjagaan sempurna.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kanak-kanak berkenaan dijaga oleh ibu yang mengalami kemurungan manakala abang kepada mangsa terlibat dalam pengambilan najis dadah.
Video penemuan kanak-kanak itu dikongsi oleh pengguna TikTok, @shanizam9910.
“Meruntun jiwa saya pada waktu itu apabila mendapati seorang kanak-kanak usianya dalam usia 4 tahun tidur berhampiran timbunan sampah.
“Saya dengan bantuan rakan mendapatkan bantuan JKM untuk membantu keluarga ini, kami di AADK hadir untuk membantu merawat bukan untuk menghukum,” katanya.