KARNIVAL HARI PEKERJA 2025 HIMPUN EKOSISTEM KERJAYA, TAWAR LEBIH 10,000 PELUANG PEKERJAAN

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan menganjurkan Karnival Hari Pekerja2025 sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025. Acara kerjaya berskala besar ini berlangsung dari 28 April hingga 1 Mei 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dan bakal menawarkan lebih 10,000 kekosongan jawatan menerusi penyertaan 40 majikan daripada pelbagai sektor dan julat gaji.
Karnival Hari Pekerja 2025 akan memberi fokus khusus kepada golongan belia selaku bakat masa hadapan negara. Pameran kerjaya yang interaktif dan forum perbincangan “Pocket Talks” membincangkan topik semasa kerjaya seperti Penipuan Pekerjaan, Kesihatan Mental Pekerja, Masa Depan Pekerja Gig dan Wanita Kembali Bekerja juga disusun sepanjang karnival bagi melibatkan para belia secara aktif. Usaha ini bertujuan membekalkan ilmu, pendedahan dan motivasi kepada bakat muda, sekali gus membantu mereka membuat persiapan rapi untuk memasuki alam pekerjaan.
“Belia yang merupakan ‘future talents’ negara berpeluang menambah ilmu dan mencorak kepelbagaian minat baharu menerusi pameran interaktif dan program forum berkaitan kerjaya sepanjang program ini,” kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Antara syarikat yang terlibat termasuk Malaysia Aviation Group (MAG), Sunway Resort Hotel Sdn Bhd, Agro Bank, Ambank Group, Bank Islam, FGV Holding, Gintell (M) Sdn Bhd, Prasarana Malaysia Berhad, MArii (Malaysian Automotive Robotics and IOT Institute) IHH Healthcare Malaysia (Pantai Medical Centre Sdn Bhd) dan Avisena Healthcare Sdn Bhd. Penyertaan syarikat-syarikat ini meliputi sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta kecil dan sederhana, sejajar dengan matlamat menyediakan peluang kerjaya merentasi pelbagai bidang.
Karnival empat hari ini menghimpunkan keseluruhan ekosistem pemerkasaan pekerja di bawah KESUMA. Ia menjadi acara pembuka tirai sebelum kemuncak sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2025, bertemakan “Pekerja Kesuma Bangsa”. Majlis sambutan peringkat kebangsaan pada 1 Mei itu dijadual akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai penghargaan terhadap sumbangan para pekerja selaku tulang belakang pembangunan negara.
Selain peluang pekerjaan yang luas, pelbagai kemudahan dan program sokongan kerjaya turut disediakan sepanjang karnival bagi meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja. Antara perkhidmatan dan aktiviti yang disediakan termasuk:
- Klinik Resume: Khidmat nasihat pemurnian resume dan surat permohonan kerja.
- Kelas Grooming: Sesi peningkatan penampilan diri dan etiket profesional bagi persediaan temu duga.
- Konsultasi Kerjaya: Runding cara hala tuju kerjaya secara individu bersama kaunselor kerjaya terlatih.
- Latihan Berimpak Tinggi: Modul latihan singkat berfokus kepada peningkatan kemahiran insaniah dan teknikal untuk pencari kerja.
Di samping karnival utama di Axiata Arena, Bukit Jalil, sesi temu duga serentak turut akan diadakan serentak di pejabat-pejabat PERKESO negara membabitkan penyertaan 103 syarikat dengan tawaran tambahan 3,146 peluang pekerjaan. Inisiatif temu duga serentak peringkat nasional ini bagi memastikan pencari kerja di setiap negeri berpeluang untuk ditemu duga oleh majikan-majikan yang mengambil bahagian tanpa perlu hadir ke ibu kota, sekali gus memperluas capaian peluang pekerjaan kepada lebih ramai rakyat.
Karnival Hari Pekerja 2025 merupakan kesinambungan kepada usaha berterusan KESUMA dalam memperkasa peluang pekerjaan untuk rakyat. Sejak Januari 2024 sehingga 18 April 2025, sebanyak 4,959 program Karnival Kerjaya telah dianjurkan di seluruh negara di bawah inisiatif bersama Kementerian Sumber Manusia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Hasil pelaksanaan inisiatif proaktif tersebut, seramai 204,819 rakyat Malaysia berjaya memperoleh pekerjaan sepanjang tahun 2024. Pencapaian ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani isu pengangguran dan memperkukuh pasaran kerja tempatan.
Orang ramai khususnya golongan belia dan pencari kerja, dijemput hadir bagi merebut peluang yang disediakan di Karnival Hari Pekerja 2025. Kementerian Sumber Manusia percaya penganjuran karnival ini bukan sahaja akan membantu ramai pencari kerja mendapatkan pekerjaan, malah turut menyemarakkan sambutan Hari Pekerja sebagai tanda penghargaan kepada kontribusi warga pekerja dalam pembangunan negara.