Berita

KBS siasat syarikat vape taja program sukan

KBS ada dasar jelas yang tidak membenarkan sebarang syarikat berkaitan rokok dan vape terbabit program sukan atau belia

KUALA LUMPUR 28 Jan – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyiasat satu program sukan didakwa mendapat tajaan sebuah syarikat menjual rokok elektronik atau vape, kata Timbalan Menteri Adam Adli Abdul Halim.

Adam berkata, KBS ada dasar jelas yang tidak membenarkan sebarang syarikat berkaitan rokok dan vape terbabit program sukan atau belia.

“Perkara ini sedang disiasat,” katanya dalam hantaran di platform X.

Beliau membalas satu hantaran pengguna X dikenali sebagai “Khairul Hafidz” yang mempersoalkan satu program berlangsung di Cyberjaya sejak Jumaat lalu mendapat tajaan sebuah syarikat vape.

Khairul turut memuat naik poster program berkenaan yang menunjukkan ia juga mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang menjadi rakan strategik.

“Saya melihat ada dua kementerian bersama-sama menyokong dan menjadi rakan strategik dengan syarikat vape.

“Adakah ini tidak menyalahi Seksyen 9 Akta Kawalan Merokok?,” soalnya.

Berdasarkan poster itu, program yang berlangsung selama tiga hari membabitkan pelbagai aktiviti termasuk jualan makanan, minuman dan pertandingan sukan serta gaya hidup. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button