Berita

KDN kendali pengurusan pekerja asing

Kementerian Sumber Manusia masih kekal berperanan dalam aspek keakuran kepada dasar perburuhan, penentuan kelayakan kuota dan memuktamad kerjasama dengan negara sumber.

PUTRAJAYA, Jan 6 — Pengurusan pekerja asing berada dibawah kendalian Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas penjajaran semula fungsi agensi kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata bagaimanapun Kementerian Sumber Manusia masih kekal berperanan dalam aspek keakuran kepada dasar perburuhan, penentuan kelayakan kuota dan memuktamad kerjasama dengan negara sumber.

Beliau berkata, penjajaran itu bermaksud tiga perempat daripada proses pengambilan pekerja asing terletak di bawah bidang kuasa atau kawal selia KDN.

“Proses daripada majikan memohon pekerja, kebenaran awal memohon kuota sampailah kepada pekerja asing itu dibawa masuk, tiga per empat daripada keseluruhan proses itu di bawah KDN.

“Pemegang taruh seperti majikan, industri, persatuan serta pekerja asing tidak perlu khuatir akan perubahan dasar ini yang dijangka bermula pada 15 Januari ini.

“Hal ini kerana penjajaran fungsi ini tidak akan menjejaskan tatacara dan carta alir permohonan penggajian pekerja asing sedia ada, memandangkan fokus kepada penjajaran kepada tatakelola pengurusan pekerja asing,” katanya.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Saifuddin berkata, Kementerian Sumber Manusia kekal dalam proses pertama, iaitu mengenal pasti negara sumber, kedua mengadakan perjanjian dengan negara sumber bagi mendapatkan sumber tenaga pekerja asing dan aspek urus-kendali dalam menentukan kuota diperlukan setiap industri, seperti diputuskan Jemaah Menteri, sebelum ini.

“Kita harap (penjajaran) ini akan membuatkan proses pengambilan pekerja asing dilaksanakan kurang 30 hari. Kita lihat ruang untuk tempoh itu dipendekkan.

“Antara lain, kelonggaran itu akan merangkumi usaha berterusan untuk memudah cara penilaian kelayakan bagi menggaji pekerja asing, penelitian terhadap syarat-syarat kelulusan kuota dan proses keimigresenan dan tapisan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, Jemaah Menteri pada 7 dan 21 Disember lalu bersetuju menjajarkan semula peranan pengurusan pekerja asing dan mempertimbang kelonggaran yang wajar bagi tujuan penggajian pekerja asing di Malaysia.

“Keputusan itu bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara ke tahap yang lebih baik pada tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat hari ini turut bersetuju dengan cadangan kelonggaran syarat dan prosedur permohonan kuota pekerja asing kepada tahap yang paling optimum, bagi mengimbangkan di antara keperluan pembangunan ekonomi dengan kepentingan keselamatan negara.

Katanya, kemasukan pekerja asing itu dijangka akan memberikan kesan positif kepada ekonomi negara.

“Prospek ekonomi bagi suku pertama tahun 2023 boleh meningkat sebanyak satu peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), sekiranya kemasukan pekerja asing dipercepat untuk memenuhi keperluan sektor-sektor berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, sehingga 31 Disember lalu, terdapat 1,459,196 orang pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara (PLKS) di Malaysia.

“Sektor perkilangan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 538,148 orang diikuti pembinaan (315,932) dan perkhidmatan (221,621).

“Jumlah ini termasuk 316,446 pekerja asing baharu yang digajikan pada tahun lalu, selain tiga warganegara tertinggi pekerja asing di Malaysia ialah Bangladesh, Indonesia dan Nepal,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun lalu 1,606,724 permohonan kuota pekerja asing diterima dengan 676,070 diluluskan dan daripada jumlah itu, sebanyak 635,234 sudah dibayar levi.

“Daripada jumlah kuota yang selesai pembayaran levi, bilangan kuota yang memohon Visa Dengan Rujukan sebanyak 463,255 dan jumlah yang diluluskan 452,963,” katanya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button