Berita

KDN rampas jam digital al-Quran, azan ‘bermasalah’ dari China

Jam itu dirampas dalam empat serbuan di beberapa premis di Lembah Klang pada bulan lalu

PUTRAJAYA 19 Jan – Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyita 3,254 unit jam dinding digital mengandungi audio 30 juzuk al-Quran dengan fungsi azan dianggarkan bernilai RM1.1 juta.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, jam itu dirampas dalam empat serbuan di beberapa premis di Lembah Klang pada bulan lalu.

Premis berkenaan dipercayai pengedar jam digital itu.

Menurutnya, empat lelaki warga tempatan berusia 30-an hingga 40-an ditahan dalam serbuan itu dipercayai memasarkan barangan itu melalui platform e-dagang kerana menyalahi Seksyen 6(1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 kerana tiada perakuan KDN.

Katanya, jam dinding digital yang dirampas itu didapati mempunyai kesalahan teknikal audio bacaan al-Quran seperti bacaan secara berulang-ulang, bacaan bercampur aduk dengan laungan azan dan terjemahan bahasa lain tidak menepati penggunaan terjemahan di Malaysia yang berpandukan tafsir pimpinan Ar-Rahman.

“Mana-mana penerbitan al-Quran dalam apa juga bentuk yang mengandungi satu penerbitan al-Quran dalam apa jua bentuk yang mengandungi satu juzuk atau lebih perlu mendapatkan perakuan daripada KDN melalui proses semakan pakar terlebih dahulu sebelum diedar ataupun dijual di negara ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Produk yang diimport dari China ini dijual di pasaran melalui platform e-dagang dan media sosial dengan harga RM350 hingga RM350 seunit.

Nik Yusaimi berkata, kawalan ini perlu bagi menjamin kesucian al-Quran yang betul untuk diamalkan oleh rakyat Malaysia bagi mengelak kekeliruan sehingga menjadi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 952 pruf akhir teks al-Quran termasuk al-Quran elektronik dan digital yang telah diluluskan oleh KDN untuk jualan dan diedarkan di negara ini.

Katanya, KDN masih menjalankan siasatan bagi mengesan dalang termasuk bekerjasama dengan platfrom e-dagang untuk menyekat penjualan jam digital ini.

“KDN akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terbabit dengan aktiviti pengimportan, pengedaran dan penjualan al-Quran yang menyalahi akta ini dan jika sabit kesalahan individu terbabit boleh dihukum sehingga lima tahun penjara atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button