Berita

Kebocoran data 13 juta rakyat tak sepadan milik Astro, Maybank

Perkara itu disahkan Menteri KKD, Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Ketirisan data peribadi didakwa melibatkan hampir 13 juta rakyat Malaysia pada Disember tahun lalu tidak sepadan data digunakan Astro dan Maybank, menurut Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Ini sekali gus mengesahkan kenyataan Astro dan Maybank yang sebelum ini menafikan bahawa pangkalan data mereka mengalami ketirisan di sebuah laman web.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Fahmi berkata Jabatan Perlindungan Data Peribadi dan CyberSecurity melancarkan siasatan terhadap dakwaan ketirisan maklumat pada 30 Dis 2022 itu.

Hasil siasatan kemudian diserahkan kepada Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (Nacsa).

“CyberSecurity juga melaksanakan proses pengesahan terhadap data yang didakwa tiris dari Astro dan Maybank, tetapi mendapati data tersebut tidak sepadan dengan data sebenar yang digunakan oleh kedua-dua organisasi,” katanya.

Beliau menegaskan komitmen kementerian dalam melindungi keselamatan data peribadi rakyat.

Pada Disember, seorang pengguna Facebook mendakwa berlaku ketirisan data peribadi membabitkan hampir 13 juta rakyat Malaysia dari laman web Maybank, Astro, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut hantaran itu, sebuah laman web menyenaraikan butiran peribadi kira-kira 3.5 juta pengguna Astro, 1.8 juta pengguna Maybank, serta 7.2 juta pengundi berdaftar SPR pada jam 7.56 malam, 25 Dis.

Maklumat dibocorkan itu antara lain didakwa membabitkan nama penuh, tarikh lahir dan kad pengenalan pengguna.

Bagaimanapun, Fahmi tidak mengulas dakwaan berkait ketirisan data SPR. — FMT

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button