Kecewa ‘dianaktirikan’, MIC minta lebih dihormati – Vigneswaran

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran meminta Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak ‘menganaktirikan’ parti komponen itu.
Vigneswaran sebelum memulakan ucapan berkata, beliau tidak menyangka Ahmad Zahid akan menyertai pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya tidak dapat baca ucapan teks hari ini secara umum lebih-lebih lagi dengan kehadiran media hari ini. Saya seperti tidak dapat bercakap kerana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada di sini hari ini, kita juga hanya dapat tahu beliau akan hadir pada saat akhir.
“Bagaimanapun ingin saya cakap di hadapan semua tentang rasa kurang senang kami terhadap tindak tanduk khasnya dalam BN itu sendiri. Kami telah dianaktirikan dalam soal pembahagian kerusi dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya pada majlis perjumpaan antara MIC bersama Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Katanya lagi, dalam kerajaan juga MIC tidak diberikan apa-apa pengiktirafan mahu pun jawatan tidak kira kerajaan mahupun GLC.
“Bukan kami kejar jawatan tapi ini soal penghormatan kami, ini soal maruah. Pengiktirafan itu penting,” katanya pada majlis perjumpaan antara MIC bersama Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Menurut Vigneswaran, MIC telah memberi sokongan tidak berbelah bahagi untuk Kerajaan Perpaduan namun tidak tanduk yang kurang menyenangkan menyebabkan akar umbi parti berasa kecewa.
Malah katanya, terdapat ahli parti yang menyangka beliau ‘mendapat sesuatu’ dan ini menyebabkan beliau mengambil pendekatan untuk bercakap secara terbuka.
“Selama ini juga apabila masyarakat melemparkan tohmahan, kita terus setia bersama BN dan UMNO sehinggalah komuniti ini bertindak menjauhkan diri dari kami, semua isu kami dipersalahkan. Kami terima dan terus berjuang bersama komponen sehingga saat ini, jadi mengapa anak tirikan komponen MIC dan MCA?
“Saya hargai semua komitmen dan bantuan yang Datuk Seri Anwar lakukan untuk MIC. Saya dan MIC cukup berterima kasih dengan dana RM25 juta yang diberikan oleh beliau, juga ikrar beliau untuk memastikan segala isu-isu menghantui komuniti India akan cuba diselesaikan olehnya dalam tempoh setahun ini. Kami maklum dan berterima kasih,” katanya.
Vigneswaran berkata, MIC tidak sepatutnya mengahdapi situasi seperti itu lagi dan ia perlu ditangani secara terhormat.
“Kalau tidak beri jawatan juga tidak apa, tapi berilah penghormatan yang sewajarnya kepada kita,” katanya.– Xklusif