‘Kejujuran’ mungkin jadi punca dakwaan rombakan kabinet

KUALA LUMPUR 30 Mei – ‘Kejujuran’ dalam Parlimen mungkin menjadi punca kepada rombakan kabinet walaupun sudah dinafikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, mereka di luar kerajaan tidak banyak tahu mengenai perkara tersebut dan hanya tahu melalui media sahaja.
“Mungkin terjadi pergolakan dalaman kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berlaku jujur dalam Parlimen.
“Azalina ‘jujur’ dalam Parlimen apabila ditanya mengendai dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada tauke judi seperti yang dituduh Anwar terhadap PN berbulan-bulan sebelum ini,” katanya kepada Xklusif.
Menurut Muhammad Faiz, desas-desus rombakan kabinet ini juga bagaikan amaran agar agihan kerusi antara kerajaan wajar diselesaikan dengan baik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) secara bersama jika mahu terus kekal dalan kabinet.
Ditanya jika terdapat unsur ‘ugutan, Muhammad Faiz berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada masyarakat untuk menilai.
“Tidak menghairankan jika berbaur ugutan pun kerana Anwar berada dalam keadaan terdesak untuk menutup aibnya memfitnah PN dan untuk mengekal kerajaan campurannya itu,” katanya.
Terdahulu, timbul dakwaan yang mengatakan bahawa akan berlaku rombakan kabinet namun perkara itu dinafikan Fadillah. — Xklusif