Berita

Kelantan dilanda banjir kali kedua

Hujan lebat mula melanda Kuala Krai, Kelantan sejak semalam.

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Kelantan dilanda banjir gelombang kedua apabila seramai 55 mangsa daripada 12 keluarga di jajahan Kuala Krai berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

PPS berkenaan mula dibuka 9 pagi ini berikutan beberapa kampung di jajahan itu dinaiki air disebabkan hujan lebat sejak semalam.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, mangsa yang terdiri daripada 32 dewasa, 22 kanak-kanak dan seorang bayi ditempatkan di PPS Pusat Komuniti Chuchuh Puteri A.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, paras air di beberapa sungai utama juga meningkat iaitu dua sungai melepasi paras amaran dan dua sungai berada di paras waspada.

Dua sungai yang melepasi paras amaran adalah Sungai Nal di Kuala Krai dengan bacaan 24.52 meter (m) berbanding paras normal 21m dan Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang (15.89m).

Dua sungai berada di paras waspada ialah Sungai Pergau di Jeli (50.98m) dan Sungai Semerak di Jambatan Melor, Bachok (7.17m). — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button