Berita

Kelantan terima peruntukan paling tinggi tambah baik infrastruktur

Perkara itu membuktikan kerajaan pusat tidak meminggirkan rakyat Kelantan.

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Kelantan muncul negeri di Semenanjung yang menerima peruntukan tertinggi daripada kerajaan bagi kerja penambahbaikan infrastruktur, termasuk penyelenggaraan jalan raya, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau sekali gus menyifatkan peruntukan tertinggi itu sebagai bukti kerajaan pusat tidak pernah meminggirkan rakyat Kelantan yang ditadbir pembangkang.

“Sebenarnya apa yang dikatakan (Ahli Parlimen) Jelutong adalah benar. Tadi, ada Ahli Parlimen bangkitkan Kelantan dianaktirikan dan peruntukan sangat sedikit.

“Saya mahu beritahu bahawa Kelantan menerima peruntukan tertinggi di Semenanjung, tidak termasuk Sabah dan Sarawak. Jadi, saya bangkitkan ini secara terus terang, ikhlas… dan ini adalah benar,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun mencelah mendakwa pelbagai peruntukan penambahbaikan, naik taraf dan selenggara jalan raya yang diberi kerajaan kepada negeri-negeri pembangkang, adalah bukti jelas mereka tidak pernah dianaktirikan.

Sementara itu mengenai projek pelebaran laluan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Senai Utara ke Sedenak di Johor pula, Abdul Rahman berkata, kerja pembinaan dijangka bermula suku kedua tahun depan dan siap pada 2027.

“Projek pelebaran PLUS Senai Utara ke Sedenak adalah projek disenaraikan dalam Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menggunakan peruntukan kerajaan dengan anggaran RM525 juta.

“Ketika ini, pihak PLUS sedang dalam proses lantikan perunding dan kerja pembinaan dijangka dimulakan pada suku kedua 2024 dan siap pada suku kedua 2027,” katanya. — BH

Artikel Berkaitan

Back to top button