Berita

Kemas, sopan, cantik… – Ramai puji uniform moden baharu Malaysia Airlines

Pengenalan uniform berkenaan adalah langkah signifikan ke arah rekaan yang lebih moden dan pada masa yang sama menghormati budaya Malaysia

KUALA LUMPUR 10 Jan – Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) hari ini secara rasminya memperkenalkan uniform baharu untuk barisan hadapan, AeroDarat Services (ADS).

Perkara itu diumumkan oleh kumpulan itu menerusi satu kenyataan rasmi syarikat penerbangan tersebut.

Menurut MAG, pengenalan uniform berkenaan adalah langkah signifikan ke arah rekaan yang lebih moden dan pada masa yang sama menghormati budaya Malaysia.

Perubahan rekaan pakaian seragam itu diumumkan semasa majlis pelancaran yang diadakan di Terminal 1 KLIA, hari ini.

Majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Pakaian seragam itu akan digunakan oleh ADS dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan untuk semua syarikat penerbangan di bawah MAG.

Ia termasuk syarikat penerbangan asing yang terbang ke lapangan terbang domestik di Malaysia.

Rekaan baharu itu terdiri daripada koleksi seragam sut tiga helai yang disesuaikan dengan pilihan seluar atau skirt untuk wanita.

Dihasilkan menggunakan fabrik mudah dijaga dan memiliki pengudaraan yang baik, seragam itu jelas mengutamakan keselesaan kepada si pemakai.

Ia juga bagi memastikan petugas dapat menjalankan tugas mereka dengan yakin, bangga dan mesra dalam menyambut tetamu di lapangan terbang.

Dalam pada itu, uniform berkenaan juga dipadankan dengan blaser ringkas, namun masih mengekalkan imej profesional.

Hadir dengan warna biru laut klasik, blaser itu juga menampilkan reka bentuk ‘songket’ yang menggabung warisan budaya dan kontemporari.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata bahawa seragam itu melambangkan komitmen syarikat itu terhadap profesionalisme.

“Seragam darat ADS baharu melambangkan komitmen kami terhadap profesionalisme dan kesaksamaan, di samping menghargai semangat dan budaya Malaysia dengan memasukkan motif songket.

“Ia juga meraikan bakat dalaman kami kerana pakaian seragam itu direka khas oleh kakitangan kreatif dalam MAG,” katanya lagi.

Selain perubahan rekaan uniform, MAG juga juga memperkenalkan beg tangan dan klac kakitangan yang direka menggunakan uniform kebaya yang dipakai sebelum ini.

Malaysia Airlines dan anak syarikatnya merupakan sebahagian daripada MAG.

Tinjauan Xklusif di media sosial mendapati rata-rata netizen memuji rekaan baharu unifrom syarikat penerbangan berkenaan dengan menyifatkan ia lebih kemas dan cantik.

“Cantik.  Sejuk mata memandang. Barulah elegan,” kata Cahayaku Ajeerah.

“Alhamdulilah. Baru berkat sebab dah menutup aurat. Tahniah pengurusan MAS,” kata Sarip Dol.

“Memang cantik dan menarik serta menaikkan martabat kain songket itu sendiri. Terbaik MAS,” komen Noraini Yaakob. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button