Berita

Kemenangan PRK Kemaman buka pintu PN ke Putrajaya – Ahmad Samsuri

Samsuri meraih 64,998 undi pada PRK Kemaman, meninggalkan calon Barisan Nasional yang terpaksa berpuas hati dengan 27,778 undi.

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Calon PAS bagi PRK Parlimen Kemaman menyifatkan kemenangan besar parti itu pada pilihan raya kali ini akan ‘buka pintu’ untuk Perikatan Nasional (PN) ke Putrajaya.

Ahmad Samsuri Mokhtar, yang memenangi pertandingan satu lawan satu dengan majoriti lebih kuat, meraikan hasil usaha PN mempertahankan Parlimen Kemaman pada pilihan raya kali ini.

“Terima kasih semua. Apa yang kita hadapi hari ini di Parlimen Kemaman – dengan majoriti tinggi – hasil kerja kuat semua dan ia merupakan pembuka pintu untuk kita menuju Putrajaya,” katanya kepada ribuan penyokong yang berhimpun di Arena Square Kemaman, Terengganu seperti dilapor Berita Harian.

Samsuri yang merupakan menteri besar Terengganu dicabar oleh Barisan Nasional yang mempertaruhkan bekas panglima angkatan tentera, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Sementara itu, Pengerusi Bersatu Terengganu, Razali Idris, mendakwa penyokong Umno turut menyumbang kepada keputusan memberangsangkan yang diperolehi PAS.

“Terima kasih kepada 10,000 undi datang dari Umno Kemaman, terima kasih kepada Umno Kemaman,” katanya.

Samsuri meraih 64,998 undi pada PRK Kemaman, meninggalkan calon Barisan Nasional yang terpaksa berpuas hati dengan 27,778 undi.

Ini bermakna PAS meraih majoriti 37,220 undi pada pilihan raya ini, mengatasi 27,179 undian yang diperoleh pada PRU15.

PRK diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lalu membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid, pada PRU15. — FMT

Artikel Berkaitan

Back to top button