Kempen ‘We’ll Take You There’ Bank Rakyat tawar hadiah berjumlah RM330,000

Bersempena promosi akhir tahun 2025, Bank Rakyat tampil melancarkan kempen ‘We’ll Take You There’ yang menawarkan peluang kepada pelanggan baharu dan sedia ada yang menggunakan atau melanggan produknya memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM330,000.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, “Kempen yang diadakan sempena promosi akhir tahun ini bukan sahaja bertujuan bagi menghargai kesetiaan dan sokongan berterusan pelanggan Bank Rakyat, malah juga selaras dengan peranan serta komitmennya sebagai sebuah institusi kewangan yang memahami hasrat dan keperluan setiap segmen masyarakat.“
Bermula 10 Disember 2025 hingga 15 Februari 2026, kempen ini menawarkan pelbagai hadiah lumayan termasuk kenderaan elektrik MG4-Ultimate, pakej kelengkapan rumah bernilai RM30,000, pakej ibadah umrah bernilai RM20,000, serta pakej percutian eksklusif ke destinasi antarabangsa termasuk Norway bagi menyaksikan fenomena Aurora dan Sapporo, Jepun untuk pengalaman ski.
Turut ditawarkan percutian mewah ke Anantara Desaru Coast, Johor dan The Taaras Beach and Spa Resort, Terengganu, manakala pemenang hadiah sagu hati pula bakal menerima Akaun Pelaburan-i Rizq Plus bernilai RM1,000.
Penyertaan kempen ini dibuka kepada pelanggan yang memohon Pembiayaan Peribadi-i dengan jumlah minimum RM30,000, Pembiayaan Perumahan-i dengan jumlah minimum RM200,000 atau Pembiayaan Kenderaan-i dengan jumlah minimum RM50,000, tertakluk pada kelulusan dan pengeluaran pembiayaan semasa tempoh kempen.
Bagi pengguna Kad Kredit-i Bank Rakyat, pelanggan baharu hanya perlu berbelanja minimum sebanyak RM1,000 untuk layak menyertai kempen ini, manakala pelanggan sedia ada pula layak dengan perbelanjaan terkumpul sekurang-kurangnya RM5,000 sepanjang tempoh kempen.
“Kempen ini membuktikan bahawa Bank Rakyat bukan sekadar institusi kewangan yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan, tetapi juga sentiasa bersama dalam perjalanan kewangan pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang, sama ada dalam pengurusan kewangan, peningkatan taraf hidup, mahupun pencapaian aspirasi peribadi mereka,” ujar Bank Rakyat.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, orang ramai boleh melayari laman media sosial @mybankrakyat, laman sesawang rasmi www.bankrakyat.com.my atau mengunjungi mana-mana cawangan Bank Rakyat yang berdekatan.








